Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube

ROS Lboard

Demo desak tutup Kedutaan Syria

 | June 8, 2012

Kumpulan Pemuda PAS mula berjalan kaki kira-kira dua kilometer daripada Masjid Tabung Haji Jalan Ampang di sini selepas solat Jumaat.

KUALA LUMPUR: Kira-kira 300 rakyat Syria dan Pemuda PAS hari ini berdemo dihadapan Kedutaan Syria mengutuk kekejaman Presiden Bashar al-Assad terhadap rakyatnya.

Kumpulan Pemuda PAS yang diketuai Timbalannya Nik Abduh Nik Aziz mula berjalan kaki kira-kira dua kilometer daripada Masjid Tabung Haji Jalan Ampang di sini selepas solat Jumaat.

Manakala kumpulan pelajar Syria yang memegang sepanduk dan kain rentang berbahasa Arab menuntut supaya rejim Bashir berundur.

Kira-kira 50 anggota polis juga kelihatan berjaya mengawal keadaan dan lalu lintas kenderaan tanpa berlaku sebarang kejadian tidak diingini.

Nik Abduh ketika ditemui pemberita berkata, demonstrasi diadakan bagi menyatakan kebencian tindakan rejim Bashir menindas dan membunuh rakyatnya sendiri.

Beliau juga mahu kerajaan menyatakan pendirian tegas menentang kezaliman tersebut dengan menutup Kedutaan Syria di Malaysia.

“Ini bukan masa untuk kita berdiam diri. Kita perlu berjuang menentang pemerintah melakukan kezaliman.

“Kita mahu kerajaan menghalau duta Syria sebab kita tak mahu menyokong pemimpin Islam yang zalim menindas rakyatnya,” tegasnya.

Akan terus mendesak

Katanya, keadaan itu sekaligus mampu menambah lagi persepsi negatif negara Islam di mata Barat.

Lima kali berdemontrasi yang sama dihadapan Kedutaan Syria termasuk menghantar memorandum sejak tahun lalu, Nik Abduh berkata pihaknya tidak akan berhenti dan akan terus mendesak sehingga Syria mencapai keamanan semula.

Sementara itu, Presiden Gabungan Pelajar Melayu Islam (Gamis) mahu kedutaan itu ditutup sehinggalah Bashir meletakkan jawatannya.

Katanya, kerajaan perlu tegas menghalau keluar Kedutaan Syria daripada Malaysia sebagai tanda menolak segala bentuk kezaliman yang berlaku di negara itu.

Demontran itu kemudiannya bersurai dengan aman tanpa sebarang provokasi.

Terbaru, akhbar melaporkan kira-kira 100 rakyat Syria terkorban termasuk wanita dan kanak-kanak dalam serangan terbaru di wilayah tengah Hama, semalam.

Serangan di perkampungan Mazraat al-Qabeer mengakibatkan 20 wanita dan 20 kanak-kanak terbunuh akibat ditikam dan dibakar.

Serangan itu berlaku tidak sampai dua minggu selepas pembunuhan beramai-ramai di Houla, di mana pasukan keselamatan dan militia Assad yang dikenali ‘shahuba’ membunuh 108 penduduk, separuh daripadanya kanak-kanak.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments