Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube Vimeo

ROS Lboard

Hanuman: Suara Hati – Bahagian 35

 | June 9, 2012

Merah menyala muka Ravana. Merah menyala juga sepuluh pasang matanya.

FEATURE

“Kau harus mengembalikan Sita kepada Rama. Jika kau turuti arahan ini, kau tidak akan Rama bunuh.”

Demikian aku berkata setelah duduk selesa sama tinggi dengan sanggahsana Ravana.

“Menyerahkan Sita? Menyerah kalah kepada seorang manusia keturunan Dravida?”

Ravana ketawa lagi sehingga bahunya terhinggut-hinggut.

“Sia-sialah aku menculiknya dua puluh dua tahun lalu jika aku menyerahkannya kembali begitu sahaja tanpa berperang. Sita kini isteriku. Dia adalah ibu kepada anakku, Tilewi!”

Nampaknya Ravana benar-benar percaya bahawa Tilewi adalah anaknya! Ruwet.

“Kau sedang mencari nahas, wahai Ravana!”

“Aku sedang mencari nahas?”

Ravana ketawa semakin kuat. Bergegar istananya.

“Kau yang sedang mencari nahas dengan memihak kepada Rama. Aku dengan khabar, kononnya kau sedang mencari ibu bapa kandung kau. Aku sumpahkan supaya kau terkorban sebelum mereka sempat datang menemui kau!”

Mendidih darahku mendengar sumpahan itu.

“Wahai kera, pergilah beritahu tuan kau bahawa aku akan membunuhnya sebagai balasan kerana membunuh Jenin, Badak Giganda, Ular Suli Nagina, Gagak Sura, Mula Matani, Kumbakarana dan Patala Maharayan.”

“Dan Indrajit!”

“Ya! Dan Indrajit.”

Merah menyala muka Ravana. Merah menyala juga sepuluh pasang matanya. Jari-jemarinya digenggam erat.

“Katakan kepada Rama bahawa aku akan membunuhnya sebelum menjadikan Sita isteriku yang sah. Wijaya tetap di pihakku!” Ravana meramas-ramas seratus jarinya sambil berkata begitu.

“Jadi kau mahu meneruskan juga perang ini?”

“Ya! Pulanglah, wahai kera. Minta tuan kau supaya bersedia. Aku sendiri akan turun berperang pagi esok.”

Ravana ketawa lagi. Ketawa angkuh; bagai meraikan kemenangan sebelum turun berjuang di medan perang.

Maka, aku pun pergi menyampaikan perkhabaran itu kepada Rama. Putera berkenaan agak kecewa apabila aku memaklumkan bahawa Ravana masih mahu berperang. Pada sangkaan Rama, raksasa itu akan terus menyerah kalah sebaik mendapat tahu berita kematian Indrajit.

Lalu, tentera manusia milik Rama dan tentera kera milik Surgiwa pun bersiap-sedia menanti ketibaan esok. Menanti Ravana bertemu Rama di medan perang.  – Bersambung esok

Baca juga:

Bahagian terdahulu

Uthaya Sankar SB kisah parodi retorik ini selepas beberapa tahun mengkaji pelbagai versi Ramayana di seluruh dunia.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments