Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube

ROS Lboard

Maklumat pertahanan: SAMM gesa siasat Najib

 | June 11, 2012

Ini berikutan dakwaan sebuah syarikat, Terasasi Limited telah menjual rahsia pertahanan negara kepada syarikat DCNS dari Perancis.

PETALING JAYA: Sebuah badan bukan kebangsaan (NGO) menggesa polis di antara lain, turut menyoal siasat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung dakwaan penjualan maklumat pertahanan negara.

Ini berikutan dakwaan sebuah syarikat yang berpangkalan di Hong Kong, Terasasi Limited yang dikaitkan dengan Najib telah menjual rahsia pertahanan negara kepada syarikat DCNS dari Perancis.

Pengarah Sekretariat Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Kebangsaan Zulkifli Haji Ibrahim memberitahu perkara ini dalam satu kenyataan media hari ini.

Berikutan dakwaan penjualan maklumat pertahanan negara itu, pihaknya telah membuat laporan di beberapa balai polis di beberapa negeri di negara ini.

Menurutnya, laporan dibuat di beberapa negeri termasuk di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Yong Peng, Johor; IPD Sik, Kedah; IPD Bayan Baru, Pulau Pinang; IPK Kuala Terengganu, Terengganu; IPD Sabak Bernam, Selangor; IPK Kuantan, Pahang dan IPD Dang Wangi, Wilayah Persekutuan.

Sementara beberapa laporan polis akan menyusul hari ini di beberapa negeri lain termasuk Melaka, Negeri Sembilan, Perak dan Perlis.

Menurut beliau, dalam laporan polis itu pihaknya meminta suatu siasatan yang telus dan profesional dijalankan oleh pihak berkuasa dan membawa mereka yang terbabit ke muka pengadilan.

‘Without fear or favour’

Zulkifli menegaskan, siasatan hendaklah dibuat ‘without fear or favour’ termasuk terhadap Najib, Menteri Pertahanan pada ketika itu kerana beliau bertanggungjawab secara langsung di atas keselamatan negara.

“Perbuatan menjual rahsia negara tidak boleh dipandang ringan kerana mengancam keselamatan negara,” katanya.

Menurutnya, adalah dipercayai Terasasi Limited ini dimiliki oleh Abdul Razak Baginda dan bapanya Abdul Malim Baginda yang merupakan sekutu kuat dan penasihat utama Najib.

“Mereka juga dipercayai menjadi proksi Najib dalam skandal penyelewengan pembelian dua kapal selam Scorpene dari Perancis itu.

“Siasatan menyeluruh wajib dibuat demi mempertahankan keselamatan negara serta membawa mereka yang khianat ke muka pengadilan,” tegas beliau.

Beliau berkata, pihaknya merujuk kepada laporan Suara Rakyat Malaysia (Suaram) melalui artikel yang bertajuk ‘French Submarines Diving Malaysia Into Deep Controversy’ pada 30 Mei lalu di laman sesawang rasmi pertubuhan itu.

Laporannya menyebut dokumen itu berkaitan laporan penilaian prestasi kapal selam Scorpene berasaskan keperluan pertahanan yang digariskan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). Dokumen sulit itu dijual pada harga 36 juta Euro (bersamaan RM142 juta).

Tegas beliau, “pendedahan tersebut menimbulkan tandatanya serius bagaimana dokumen sulit ketenteraan boleh dengan mudah dijual kepada syarikat pertahanan asing.

“Perbuatan ini adalah jelas merupakan perlanggaran undang-undang negara malah boleh diklasifikasikan sebagai pengkhianatan kepada negara,” ujar Zulkifli.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments