Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube

ROS Lboard

M’sia sentiasa amal sikap terbuka

June 13, 2012

Telah disebut berkali-kali kerajaan sendiri mahu pilihan raya yang adil dan bebas, kata Nazri Aziz.

Sekitar Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR:  Malaysia sentiasa mengamalkan dasar terbuka kepada cadangan sama ada dari dalam atau luar negara dalam usaha
menambah baik proses pilihan raya di negara ini, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata kredibiliti atau pengiktirafan pemberi cadangan bukan soal pokok kerana apa yang penting mereka memberi cadangan positif yang mampu membantu usaha tersebut.

“Kita terbuka, bagi kita sesiapa juga tidak kira daripada mana mahu membantu ke arah pilihan raya adil dan bebas di negara ini akan sentiasa kita terima mereka dengan tangan terbuka.

“Telah disebut berkali-kali kerajaan sendiri mahu pilihan raya yang adil dan bebas,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Ahmad Hamzah (BN-Jasin) yang mempersoal kredibiliti pasukan ‘Misi Mencari Maklumat Antarabangsa mengenai Pilihan Raya di Malaysia’ terutamanya anggotanya Senator Nick Xenophon dari Australia.

Misi pada April lepas itu merupakan sebuah usaha pencarian fakta terhadap pilihan raya di Malaysia yang dijemput Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-Permatang Pauh) yang turut terlibat dalam menetapkan terma rujukan misi itu. Amalan ini adalah di luar kebiasaan, malah anggota misi juga dipilih khusus.

‘Kangaroo Court’

Xenophon, iaitu seorang daripada tujuh anggota misi itu, merupakan antara 50 Anggota Parlimen Australia yang mendesak tuduhan liwat terhadap Anwar digugurkan pada Februari 2010. Xenophon juga sering mengkritik sistem perundangan Malaysia, merujuk sebuah jawatankuasa Parlimen sebagai ‘Kangaroo Court’.

Semasa menjalankan misi itu, Xenophon turut serta dalam perhimpunan Bersih 3.0 di Dataran Merdeka dan mengadu gas pemedih mata ditujukan ke arahnya; dan berkata cara polis mengendalikan perhimpunan itu membuktikan kerajaan Malaysia ialah kerajaan ‘autoritarian.’

Mengulas berkenaan cadangan daripada anggota misi itu, Mohamed Nazri berkata Malaysia tidak boleh menetapkan penanda aras pilihan raya di negara ini berdasarkan negara anggota misi itu seperti Pakistan dan Bangladesh.

“Penanda aras kita ‘Westminister’ (Parlimen United Kingdom), model kita Westminister, apa sahaja dilakukan Westminister kita ikut selain acuan tempatan,” katanya.

Menjawab soalan asal Anwar berhubung maklum balas kerajaan terhadap laporan interim yang dikemukakan misi itu, beliau berkata perkara yang dibangkitkan dalam laporan itu pernah dibangkitkan sebelum ini.

Cadangan PAC

“Ia dibangkitkan dalam Bersih 2.0, Bersih 3.0, Jawatankuasa Pilihan Khas (PAC) Berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya dan sering dibangkitkan dalam Mesyuarat parlimen sama ada di Dewan Rakyat mahupun Dewan Negara.

“SPR (Suruhjaya Pilihan Raya) telah memaklumkan bahawa sebahagian pandangan dan saranan tersebut telah diberi perhatian dan tindakan wajar telah dan sedang dilakukan bagi melaksanakannya mengikut masa, keadaan serta kemampuan,” katanya.

Mohamed Nazri berkata kerajaan telah memberi ruang seluasnya dan masa yang mencukupi kepada pasukan itu untuk meneliti proses pilihan raya di Malaysia.

“Semasa perjumpaan saya dengan mereka, tiada apa-apa perkara yang tidak puas hati, saya beri peluang jelas tanya soal kepada saya, segala soalan saya jawab tepat dan betul.

“Ada (cadangan) kita tak mampu lakukan sekarang seperti membersih senarai daftar pemilih perlu masa kerana setiap hari ada orang mati dan bankrap… kita hormat pasukan ini dijemput Permatang Pauh kerana beliau Ketua Pembangkang,” katanya.

- Bernama


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments