Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube

ROS Lboard

Cadangan penubuhan akademi undang-undang diteruskan

June 14, 2012

Akademi itu tidak mengambil anggota dari kalangan anggota Majlis Peguam, kata Nazri Aziz.

Sekitar Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan meneruskan cadangan menubuhkan Akademi Undang-undang tanpa perlu mendapat persetujuan daripada Majlis Peguam, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata akademi itu tidak mengambil anggota dari kalangan anggota Majlis Peguam sebaliknya ia badan yang mewakili profesion perundangan secara menyeluruh termasuk ahli akademik dan bekas hakim.

“Kita dah bentang perkara ini untuk bacaan pertama 10 tahun dulu. Apa hak Majlis Peguam nak halang ahli-ahli akademia dan mereka yang bekerja di bank-bank, yang bekerja di Jabatan Peguam Negara, dan bekas-bekas hakim daripada berpersatuan? Akademi ini tidak ambil ahli dari Majlis Peguam.

“Apa perlu ada konsultasi dengan Majlis Peguam berkaitan hak asasi orang lain? Tak berbangkit soal ini. Kalau Majlis Peguam halang, mereka penceroboh kepada hak asasi orang,” katanya pada sesi soal jawab di Parlimen.

Beliau menjawab soalan tambahan Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah) yang mahu tahu sama ada kata putus mengenai penubuhan Akademi Undang-undang telah dibuat dan adakah kerajaan telah mengadakan konsultasi dengan Majlis Peguam berhubung perkara itu.

Nazri menegaskan bahawa kebebasan berpersatuan setiap rakyat negara ini dijamin di dalam Perlembagaan Persekutuan dan Majlis Peguam tidak berhak menghalangnya.

Menjawab soalan tambahan Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) sama ada Akademi Undang-undang itu akan dikawal oleh kerajaan kerana bakal ditubuhkan melalui suatu akta, Nazri berkata: “Majlis Peguam yang diwujudkan oleh akta juga tak dapat dikawal oleh kerajaan.”

Nazri memberi jaminan bahawa cara pemilihan anggota Akademi adalah sama dengan pemilihan anggota Majlis Peguam, dan menegaskan penubuhan akademi ialah untuk meningkatkan standard profesion guaman ke tahap yang lebih tinggi.

- Bernama


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments