Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube

ROS Lboard

Mekanisme bantu wanita bercerai

 | June 14, 2012

Terdapat mekanisme untuk membantu pasangan Muslim mendapatkan nafkah ketika ini tetapi belum dilaksanakan untuk bukan Muslim.

KUCHING: Kementerian Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga (KKWPK) dijangka mengeluarkan hasil penyelesaian isu perkahwinan membabitkan pasangan yang gagal diberi nafkah dan tidak diceraikan mengikut proses betul, tidak lama lagi.

Menterinya, Datuk Hajah Fatimah Abdullah berkata, pihaknya dalam proses perbincangan dengan Persatuan Ibu Tunggal, Kelab Carnation, Mahkamah Adat Bumiputera serta Pendaftar dari Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak untuk mendapatkan butiran lanjut.

“Sesi dialog yang diadakan buat pertama kali ini bertujuan membantu pasangan bukan Muslim terutama isteri dan anak-anak menuntut nafkah selain mengetahui isu dan masalah lain berkaitan dengan perkahwinan mereka,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Majlis Dialog bersama Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak.

Menjelas lanjut, Fatimah memberitahu, terdapat mekanisme untuk membantu pasangan Muslim mendapatkan nafkah ketika ini iaitu melalui bantuan BSK di bawah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) yang ditubuhkan pada 2008.

“Tetapi untuk golongan bukan Muslim langkah atau bantuan tertentu belum dilaksanakan, disebabkan itu kita mahu berbincang bagi memastikan kebajikan mereka khasnya isteri atau anak terjaga,” kata beliau.

Tambahnya, BSK itu ditubuhkan bagi memastikan tiada isteri atau anak menghadapi masalah tuntutan nafkah selain dijadikan bantuan sara hidup sementara kepada mereka yang kemudiannya akan ditanggung oleh suami masing-masing.

“Apabila Mahkamah Syariah memberi arahan suami mesti membayar nafkah dan sekiranya didapati gagal, maka isteri atau anak boleh membuat aduan kepada Mahkamah Syariah supaya tindakan selanjutnya boleh diambil bagi membela nasib mereka,” jelasnya.

Bantuan dari JKM

Kata beliau, setakat ini Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah menyediakan bantuan kepada ibu tunggal atau anak-anak bagi meringankan beban mereka tidak kira yang bukan Muslim mahupun Muslim.

“Antara bantuan yang diberikan ialah bantuan kanak-kanak sebanyak RM100 hingga RM250 setiap seorang yang bertujuan membantu meringankan beban ibu tunggal memandangkan kos sara hidup yang semakin meningkat,” katanya.

Bagaimanapun, kata Fatimah, suami perlu menunaikan tanggungjawab mereka walaupun telah bercerai atau meninggalkan pasangan masing-masing.

Terdahulu, Fatimah memberitahu sebanyak 5,192 pasangan bukan Muslim mendaftarkan perkahwinan mereka di Jabatan Pendaftaran Negeri pada 2010.

Manakala, untuk bilangan pendaftaran perceraian ia mencatatkan jumlah keseluruhan kes sebanyak 793 pada tahun 2010.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments