Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube Vimeo

ROS Lboard

Noh akhirnya mengaku struktur semula air jalan terbaik

 | June 14, 2012

Kekurangan rezab air terawat yang kini dikatakan sekitar 2.4 peratus adalah kerana ketidakupayaan Syabas dan Puncak Niaga menguruskan rawatan air bersih.

PETALING JAYA: Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Dato’ Seri Noh Omar akhirnya mengaku bahawa masalah sebenar air di Selangor kerana keengganan syarikat-syarikat konsesi menerima tawaran kerajaan negeri untuk menstruktur semula perkhidmatan air.

Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Faekah Husin memberitahu perkara ini dalam satu kenyataan media hari ini.

Katanya, Noh secara tidak langsung mengakui bahawa isu air di Selangor hanya akan selesai jika kerajaan negeri dibenarkan untuk menstruktur semula bekalan air yang akan memberi perkhidmatan lebih berkualiti, cekap dan pada harga munasabah kepada pengguna di Lembah Klang.

Menurut Faekah, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu telah sedar bahawa kekurangan rezab air terawat yang kini dikatakan sekitar 2.4 peratus adalah kerana ketidakupayaan Syabas (Syarikat Bekalan Air Selangor) dan Puncak Niaga menguruskan rawatan air bersih seperti yang dipersetujui dalam perjanjian konsesi.

Ujarnya, “kita amat menghargai keprihatinan Noh yang mengakui penstrukturan semula ini menjadi jalan buntu kerana syarikat konsesi enggan menerima tawaran kerajaan Selangor. Namun begitu, kita mempunyai beberapa persoalan yang perlu dijawab oleh Noh.”

“Adakah Noh tahu perjanjian konsesi ini melibatkan tiga pihak di mana Kerajaan Pusat turut terlibat?,” soal beliau.

Beliau menyoal lagi, “sebagai Menteri Kabinet dari Selangor, apakah yang telah beliau lakukan untuk memujuk kerajaan Pusat membenarkan penstrukturan semula ini diselesaikan seperti yang dikehendaki Akta Industri Pembekalan Air 2006 (WSIA).

“Adakah Noh tahu Kerajaan Selangor menawarkan keuntungan 12 peratus kepada syarikat-syarikat konsesi bagi tujuan pengambilalihan ini yang menepati piawaian antarabangsa?

“Jika Noh tahu tentang perkara ini, adakah ini bermakna beliau setuju dengan permintaan Syabas dan Puncak Niaga yang meminta keuntungan sehingga 75% (untuk pengambilalihan) dan akhirnya rakyat terbeban dengan kenaikan tariff air.

“Adakah Noh berani untuk mengakui beliau lebih mengutamakan kepentingan Syabas dan Puncak Niaga berbanding kebajikan rakyat?

Adakah beliau mempunyai sebarang kepentingan atau bersekongkol dengan dua syarikat konsesi ini?,” tanya beliau lagi.

Kerajaan Pusat pada Januari 2008 telah bersetuju untuk membenarkan kerajaan Selangor mengambil alih perkhidmatan air tetapi telah membuat ‘U-turn’ (mungkir janji) selepas Umno-Barisan Nasional (BN) kalah pilihan raya umum 2008.

Tebusan politik

Menurut Faekah, dalam isu PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional), Umno juga telah membuat ‘U-turn’ tidak sampai 24 jam dengan menjadikan pelajar-pelajar baharu Universiti Selangor (Unisel) sebagai tebusan politik.

“Noh juga membuat kenyataan ‘merepek’ (karut) apabila mendakwa pembekuan pinjaman PTPTN dirancang lebih awal oleh kerajaan Selangor,” katanya.

Tegas beliau, “kerajaan Selangor tidak akan sesekali memperjudikan masa depan generasi muda demi menjamin kelangsungan politik.”

Malah kerajaan Selangor katanya, tidak perlu pun membuat begitu lantaran sokongan padu rakyat terhadap kerajaan negeri Pakatan Rakyat yang mempunyai pemimpin yang bersih dari skandal lembu atau Scorpene.

“Kita mengaku kewangan Unisel tidak membanggakan kerana menanggung beban hutang yang diwarisi dari kerajaan Umno-BN yang lemah dalam mengurus pembinaan sebuah universiti kerana mengutamakan kroni,” jelas beliau.

Menurutnya lagi, Kuis (Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor) adalah contoh terbaik bagaimana pemimpin Umno-BN memperalat pendidikan untuk anak-anak muda sebagai jalan mudah untuk menambah kekayaan kroni dan suku sakat.

“Begitupun, kita amat yakin dengan kebijaksanaan serta pengalaman Menteri Besar dalam pengurusan kewangan untuk menjadikan Unisel lebih mantap dan sejajar dengan universiti swasta lain.

“Seperti yang dijelaskan Menteri Besar, kerajaan negeri tetap akan mengapungkan aset Unisel untuk menjana wang tunai bagi mengurus Unisel dan Kuis,” katanya.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments