Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube Vimeo

ROS Lboard

In the Shadows of the Palm

 | June 15, 2012

ULASAN BUKU Sebuah antologi yang memuatkan cerpen sejumlah penulis penting yang mewarnai sastera tanah air.

Sekiranya anda mahu memberikan hadiah yang mampu membantu kenalan dari negara luar mengenali sastera, budaya dan keadaan sosial di Malaysia, antologi “In the Shadows of the Palm: An Anthology of Malaysian Short Stories” (2009) mungkin suatu pilihan yang baik.

Hanya dua cerpen dalam antologi ini merupakan karya asli dalam Bahasa Inggeris manakala baki 34 cerpen adalah karya Bahasa Malaysia yang diterjemahkan sebagai salah satu usaha Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) memperkenalkan karya-karya tempatan kepada khalayak antarabangsa.

Untuk makluman, pada tahun 1974, DBP pernah menerbitkan antologi sulung seumpama ini, iaitu “Modern Malaysian Stories: An Anthology of Malaysian Modern Writings” diikuti “The Changing Tide: The Best Malaysian Short Stories” pada tahun 1998.

Walaupun dewasa ini Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) – yang dahulu dikenali sebagai Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) – lebih aktif dan berjaya menggerakkan usaha-usaha menterjemah karya Bahasa Malaysia ke bahasa-bahasa utama dunia, sumbangan serta usaha DBP tidak boleh dinafikan atau diperkecilkan.

Apa yang menarik adalah bahawa para penulis yang karya mereka dimuatkan dalam antologi ini terdiri daripada pelbagai etnik, budaya, latar pendidikan dan tempat tinggal. Hal ini penting supaya antologi ini benar-benar mewakili “Malaysian short stories” tanpa tertumpu pada kelompok kaum tertentu atau pengarang dari Semenanjung Malaysia semata-mata.

Sasterawan Negara yang karya mereka diterjemah dan dimuatkan dalam antologi ini ialah Abdullah Hussain, A. Samad Said, Anwar Ridhwan, Arena Wati, Shahnon Ahmad dan S. Othman Kelantan.

Antara pengarang besar dan penting yang masih aktif menulis dan perlu turut diberi perhatian oleh khalayak ialah Faisal Tehrani, Jong Chian Lai, Saroja Theavy Balakrishnan, Siti Zainon Ismail, S.M. Zakir dan Zaharah Nawawi.

Dr Wong Soak Koon yang menulis pengenalan bagi antologi ini menyebut bahawa kebanyakan cerpen yang terkumpul mengangkat serta membicarakan tema hubungan kaum, cabaran dunia moden, peranan wanita dalam pembangunan serta imbasan sejarah.

Walau bagaimanapun, perlu dinyatakan bahawa “ulasan” yang dilakukan Soak Koon lebih tertumpu pada watak-watak wanita dalam cerpen-cerpen yang termuat dalam antologi ini. Tentu sahaja apa yang disajikan menerusi kesemua 36 cerpen ini adalah lebih daripada itu dan wajar diteroka sendiri oleh pembaca.

Cerpen-cerpen yang dipilih secara amat teliti untuk diterjemahkan adalah karya-karya “besar” yang pernah menang anugerah dan diperakukan ketinggian mutu dari pelbagai aspek penulisan sastera. Kebanyakan cerpen ini juga – dalam versi asal Bahasa Malaysia – sudah dimuatkan dalam beberapa antologi; sekali gus membuktikan kualitinya yang tidak pudar ditelan masa.

Satu-satunya kelemahan yang “mengganggu” proses pembacaan saya adalah kesalahan Bahasa Inggeris yang agak ketara. Hal ini mungkin berlaku kerana penterjemah kurang menguasai bahasa itu; atau penyelenggara dan penerbit tidak memberikan perhatian yang sewajarnya terhadap aspek berkenaan.

Saya percaya bahawa kelemahan itu akan dibaiki apabila/sekiranya antologi ini diulang cetak. Penerbit juga diharap lebih teliti apabila menterjemah karya Bahasa Malaysia ke Bahasa Inggeris pada masa hadapan.

Uthaya Sankar SB menyertai “Ubud Writers & Readers Festival” di Bali, Indonesia pada 3-10 Oktober 2011 dan memenuhi undangan ke “Makassar International Writers Festival” di Sulawesi, Indonesia pada 13-20 Jun 2012.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments