Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube Vimeo

ROS Lboard

Masakan Sarawak untuk santapan global

 | June 17, 2012

Ini berikutan perbincangan dengan Fox dan CNN bagi menganjurkan siaran realiti berhubung masakan Sarawak.

KUCHING: Masakan tempatan seperti midin dan ayam pansuh mungkin tidak asing lagi bagi masyarakat antarabangsa apabila dua menu tempatan itu dijadikan program realiti tahun depan.

Ini berikutan langkah kerajaan yang mengadakan perbincangan bersama dua stesen gergasi televisyen antarabangsa iaitu Fox dan CNN baru-baru ini bagi menganjurkan siaran realiti berhubung masakan Sarawak.

Menteri Pelancongan, Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Haji Openg berkata, siaran konsep program realiti MasterChef itu dijangka mula ditayangkan dalam stesen tempatan dan antarabangsa pada Jun tahun depan, selepas setahun menjalankan penggambaran di pelbagai lokasi.

“Pada ketika ini kita masih berunding dengan kedua-dua pihak bagi membolehkan penggambaran dilakukan pada suku ketiga tahun ini.

“Pelbagai lokasi akan dipilih tetapi menjadi keutamaan adalah beridentitikan Sarawak,” katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas perasmian penyerahan tapak projek Prasarana Ekonomi Semariang Batu.

Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Semariang, Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali serta Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai.

Chef terkemuka

Menurut Menteri Perumahan itu, siaran itu mempunyai 12 episod dan menampilkan chef-chef terkemuka Malaysia untuk menampilkan menu tempatan ke peringkat antarabangsa.

“Kalau kita memilih chef selebriti, ada kemungkinan masyarakat di luar negeri ini tertarik untuk merasai makanan dan dengan dorongan itu mereka akan datang ke Sarawak,” ujarnya.

Beliau berkata, ini merupakan satu lagi usaha kerajaan untuk mempopular dan mempromosi masakan tempatan Sarawak kepada masyarakat luar yang tidak hanya di Semenanjung, Malaysia dan Sabah malah menjangkaui sempadan negara.

Terdahulu, berkenaan tapak projek Semariang, beliau mengumumkan peruntukan RM2 juta sebagai tambahan untuk menaiktarafkan infrastruktur asas pelancongan di kawasan terbabit.

“Dalam perangkaan industri, Samariang diletakkan sebagai salah satu pintu masuk pelancong berkunjung ke Sarawak.

“Ini kerana kawasan itu tidak jauh dari Pasir Panjang yang ada taman keluarganya. Menerusi taman keluarga ini, kita akan membangunkan kawasan Semariang menyusuri sungai yang ada supaya ia menjadi lebih mesra kepada alam sekitar.

“Lagipun, memang perancangan kita juga untuk menjadikannya sebahagian daripada ‘Wetland Park’… dari Sungai Salak hingga ke Telaga Air,” katanya.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments