Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube

ROS Lboard

Pendidikan Cina: Peringatan buat Dong Zong

June 17, 2012

"Sebagai rakyat yang cintakan kedamaian, perpaduan dan kesejahteraan, jangan bangkitkan perkara-perkara yang sudah selesai," tegas Setiausaha Agung MPM Dr Hasan Mad.

PETALING JAYA: Majlis Perundingan Melayu (MPM) mengingatkan Dong Zong supaya tidak membangkitkan isu pemansuhan kontrak sosial yang dipersetujui semasa negara ini mencapai kemerdekaan jika mahu mengekalkan perpaduan dan kesejahteraan hidup di negara ini.

“Sebagai rakyat yang cintakan kedamaian, perpaduan dan kesejahteraan serta saling menghormati antara satu sama lain, MPM menyarankan pihak yang berkenaan jangan bangkitkan perkara-perkara yang sudah selesai,” tegas Setiausaha Agungnya Dr Hasan Mad.

Beliau mengeluarkan kenyataan keras ini berikutan beberapa tuntutan dari sebuah NGO, Dong Zong yang disuarakan oleh Presidennya, Dr Yap Sin Tian, di Kajang pada 10 Jun lalu.

Dr Yap menimbulkan opsyen desakan terhadap pemansuhan kontrak sosial yang dipersetujui semasa negara ini memperolehi kemerdekaan bagi membolehkan pembangunan sekolah-sekolah persendirian Cina di Malaysia.

Opsyen ini katanya, ada kaitan dengan persetujuan kerajaan dalam tahun 1996 yang bersetuju untuk mengekalkan status sekolah-sekolah persendirian Cina sebagai balasan (trade off) kepada penyisihan Seksyen 21(2) Akta Pendidikan 1961.

Dr Hasan berkata, MPM berpendirian bahawa sistem pendidikan negara adalah perkara yang sudah selesai dirumuskan apabila negara menerima Penyata Razak dan kemudiannya Penyata Rahman Talib yang diberi pengukuhan undang-undang dalam bentuk Akta Pelajaran

1961 dan diluluskan di Parlimen.

“Mereka yang mengasaskan penubuhan negara Malaysia ini, (dulunya Persekutuan Tanah Melayu) yang terdiri daripada semua kaum, sebulat suara menyokong dan menerima Penyata Razak dan Penyata Rahman Talib ini,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Justeru itu katanya, perkara pendidikan kebangsaan adalah perkara yang sudah selesai, seperti juga perkara kerakyatan dan lain-lain isu asas kepada pembentukan dan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu.

Ujar beliau, mereka itu (founding fathers of Persekutuan Tanah Melayu) amat bijak sekali dalam menyelesaikan perkara-perkara pokok seperti pendidikan dan kerakyatan.

“Ini bagi memastikan supaya negara yang baru lahir ini dapat bergerak ke hadapan tanpa diganggu-gugat oleh perkara-perkara yang boleh menjejaskan perjalanannya menuju kemajuan,” terang beliau.

Bangkit keresahan

Menurut Dr Hasan, kemajuan negara ini akan terhingut-hingut dan tidak kemas kalau dari masa ke semasa perkara seperti pendidikan dan kerakyatan sering dibangkitkan dan dipersoalkan.  Malahan ia akan membangkitkan keresahan dan perpaduan masyarakat majmuk mungkin akan berkecai.

“Jika satu pihak boleh dengan terang-terang membangkitkan perkara yang sudah dianggap selesai, pihak lain pun boleh membangkitkan perkara yang sudah dianggap selesai kerana masing-masing boleh mengukuhkan hujah masing-masing untuk membuat desakan perkara yang mereka pertikaikan.

“Jika semua kaum di bumi bertuah ini dibiarkan membangkitkan perkara yang sudah selesai lebih 50 tahun silam, bayangkan apa akan terjadi kepada kemajuan, perpaduan kaum dan ketenteraman awam di negara ini?,” tegas beliau.

Beliau berkata pihaknya juga meminta kerajaan supaya tidak melayani tuntutan terbaru kumpulan ini dan sebaliknya meneruskan usaha membina kemajuan bagi menjadikan Malaysia negara maju menjelang 2020.

“Seandainyalah pihak berkenaan masih bertekad meneruskan desakan mereka itu maknanya mereka ini tidak berminat menyumbang kepada usaha mengukuhkan perpaduan sesama kita rakyat negara bertuah ini.

“Niat ini akan sekaligus mengancam kesejahteraan yang kita kecapi bersama selama ini.  Kita bimbang jika keadaan ini dibiarkan berterusan, negara akan menjunam di lembah kacau bilau,” ujarnya.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments