Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube Vimeo

ROS Lboard

Pendakwaan kes rasuah kuasa mutlak Peguam Negara

June 18, 2012

Jika SPRM atau badan lain diberi kuasa itu, usaha mewujudkan pemikiran bebas dalam pertimbangan fakta dan keterangan sesuatu kes tidak akan dapat dilakukan.

Sekitar Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR:  Kerajaan tidak bercadang meminda Perlembagaan Persekutuan bagi memberi kuasa kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau badan lain untuk mendakwa seseorang yang terlibat dalam kes rasuah tanpa merujuk kepada Peguam Negara, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata jika SPRM atau badan lain diberi kuasa itu, usaha mewujudkan pemikiran bebas dalam pertimbangan fakta dan keterangan sesuatu kes tidak akan dapat dilakukan.

“Kuasa itu hanya terletak pada Peguam Negara seperti termaktub dalam Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan.

“Fasal (3) Perkara 145 menyatakan Peguam Negara mempunyai kuasa yang boleh dijalankan menurut budi bicaranya untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan, selain prosiding di hadapan Mahkamah Syariah, Mahkamah Anak Negeri dan Mahkamah Tentera,” katanya.

Mohamed Nazri berkata demikian semasa menjawab soalan Gobind Singh Deo (DAP-Puchong) yang ingin tahu sama ada kerajaan bersedia meminda Perlembagaan Persekutuan untuk memberi kuasa kepada SPRM atau badan lain bagi mendakwa seseorang terlibat kes rasuah.

Beliau berkata kuasa membuat pertuduhan dan pendakwaan tidak boleh dipengaruhi mana-mana kuasa lain dan haknya hanya terletak pada kuasa mutlak Peguam Negara serta mempunyai pendakwa raya yang bebas.

“Timbalan Pendakwa Raya yang ditempatkan di SPRM ini dilantik oleh Pendakwa Raya di bawah Sub-Seksyen 376 (3) Kanun Tatacara Jenayah dan diberi kuasa untuk membuat keputusan bagi kes-kes yang disiasat SPRM dan semua keputusan hendaklah disemak panel yang ditubuh di bawah SPRM,” katanya.

- Bernama


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments