Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube Vimeo

ROS Lboard

Pemilikan unit residensi warga asing masih terkawal

June 19, 2012

Lokasi hartanah residensi yang menjadi tumpuan warga asing adalah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Johor serta Pulau Pinang.

Sekitar Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR: Peratusan pemilikan unit residensi bagi warga asing di negara ini masih terkawal dengan peratusan rekod dicatatkan adalah 1.88 peratus sahaja, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Lajim Ukin berkata daripada 492,314 unit residensi kos tinggi melebihi RM500,000 yang diluluskan pembinaan oleh kerajaan, peratusannya masih kecil dan terkawal.

Berdasarkan statistik Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta bagi tempoh 2009 hingga 2011, beliau berkata trend pemilikan unit residensi bagi warga asing menunjukkan penurunan daripada 1,776 perolehan kepada 746 perolehan.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Tan Sri Datuk Dr Fong Chan Onn (BN-Alor Gajah) yang ingin tahu jumlah dan lokasi hartanah residensi serta komersial yang dimiliki warga asing sejak lima tahun lepas.

Lajim menjelaskan lokasi hartanah residensi yang menjadi tumpuan warga asing adalah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Johor serta Pulau Pinang manakala tiada sebarang rekod perolehan bagi negeri Terengganu, Kelantan dan Perlis.

“Lokasi tumpuan tersebut direkodkan berdasarkan bilangan perolehan yang agak tinggi serta lokasi tersebut menjadi tumpuan warga asing disebabkan nilai hartanah serta lokasi yang strategik,” katanya.

Beliau berkata kerajaan hanya membenarkan warga asing membeli serta memiliki unit residensi kos tinggi yang bernilai RM500,000 ke atas di beberapa kawasan yang menjadi tumpuan seperti KLCC, Jalan Gurney serta Mont Kiara dan sentiasa memantau penjualan bagi membolehkan warganegara sentiasa diberi keutamaan.

“Kita kenakan beberapa syarat pemilikan kepada warga asing yang antaranya setiap pembelian unit residensi yang telah dibeli tidak boleh dijual semula bagi tempoh lima tahun,” katanya semasa menjawab soalan tambahan Dr Fong mengenai langkah yang diambil bagi mengawal penjualan unit residensi di sekitar kawasan tumpuan warga asing.

- Bernama


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments