Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube Vimeo

ROS Lboard

Gerakan pecat Faekah: Azmin enggan ulas

 | June 20, 2012

Orang nombor dua PKR itu tidak bersetuju serangan terbuka dibuat ke atas Faekah.

PETALING JAYA: Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali yang didakwa mempunyai kaitan dalam gerakan untuk menjatuhkan Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Faekah Husin, hari ini enggan mengulas lanjut mengenai hal tersebut.

Azmin sebaliknya berkata tidak mengenali pihak yang terlibat dalam gerakan tersebut, malah tidak bersetuju serangan terbuka dibuat ke atas Faekah.

Beliau menyarankan agar mana-mana individu atau pihak terlibat segera berhenti untuk menyebarkan kempen mahupun gerakan memburuk-burukkan ahli parti.

“Saya tidak mahu ada pihak ketiga yang cuba mengambil kesempatan. Saya juga beri jaminan kepada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (Menteri Besar Selangor) bahawa PKR negeri akan terus menyokong kepimpinan beliau dan bekerjasama untuk menjamin kemenangan dalam pilihan raya umum akan datang.

“Konflik itu adalah perkara biasa dalam mana-mana parti politik. Namun saya tidak bersetuju dengan serangan terbuka kerana dalam parti ada proses untuk sampaikan aduan tersebut,” katanya yang juga Ahli Parlimen Gombak.

Anwar arah gerakan dihentikan

Satu gerakan atau kempen melalui laman sosial Twitter dengan hashtag menggunakan #kamisayangPKR #Pecat Faekah dilihat memainkan peranan untuk memberi tekanan kepada Faekah untuk berundur diri dari posisinya.

Abdul Khalid dalam pada itu terus mempertahankan Faekah dan menganggap tindakan sedemikian tidak penting dan mahu menumpukan usaha lain untuk membangunkan negeri.

Manakala Ketua Penerangan PKR Selangor Shuhaimi Shafiei dalam satu kenyataan semalam menyatakan kesediaan untuk mengatur pertemuan dengan pemimpin terlibat untuk mengenalpasti masalah yang timbul.

Dalam perkembangan berkaitan, menurut sumber perkara berkenaan telah dibawa kepada pengetahuan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mesyuarat biro politik awal bulan ini.

Menurut sumber itu juga, Anwar mengarahkan agar sebarang gerakan atau kempen ke atas Faekah mahupun ke atas ahli parti dihentikan segera.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments