Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube

ROS Lboard

S’gor sengaja politikkan isu air

June 21, 2012

Kerajaan negeri mengambil kesempatan mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang tidak tepat untuk mengelirukan rakyat, kata Peter Chin.

PUTRAJAYA: Tindakan Kerajaan Negeri Selangor mengadakan Forum Air secara tertutup tanpa menjemput wakil-wakil kerajaan Persekutuan dan operator-operator air hanya bertujuan untuk mempolitikkan isu air di negeri itu, kata Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin Fah Kui.

Dalam forum yang diadakan pada 12 Jun itu, beliau berkata kerajaan negeri Selangor mengambil kesempatan mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang tidak tepat untuk mengelirukan rakyat tanpa memberi peluang kepada kerajaan Persekutuan menjelaskan kedudukan sebenar.

“Sekiranya kerajaan negeri Selangor benar-benar ikhlas untuk menyelesaikan isu bekalan air di negeri Selangor, mereka sewajarnya berani untuk bersemuka dengan pihak kerajaan Persekutuan dan membincangkan isu-isu tersebut secara profesional dan terbuka sepertimana yang dibuat kerajaan Persekutuan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Chin berkata sebelum ini kerajaan Persekutuan menjemput wakil kerajaan negeri Selangor menganggotai Pasukan Petugas bagi Menangani Krisis Bekalan Air di Negeri Selangor, Wilayah Pesekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya yang dipengerusikan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Loo Took Gee.

Beliau berkata forum terbuka membolehkan semua pihak memberi pandangan secara profesional bagi memastikan rakyat mendapat gambaran sebenar mengenai isu air di negeri Selangor.

Beliau berkata kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan semasa forum mengenai ketidakwajaran pelaksanaan Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2) seharusnya dibincangkan semasa mesyuarat Pasukan Petugas atau mana-mana forum terbuka.

“Sehubungan itu, kementerian akan mengadakan satu lagi forum air terbuka kepada semua termasuk NGO dengan menjemput wakil-wakil dari kedua-dua pihak untuk mengemukakan pandangan masing-masing. Biar semua fakta-fakta ini diketahui,” katanya sambil menambah bahawa satu tarikh akan ditetapkan bagi mengadakan forum itu.

Gangguan bekalan air

Sementara itu, Chin berkata masalah gangguan bekalan air di Lembah Klang dijangka
bertambah teruk pada musim kemarau yang dijangka berlanjutan sehingga Ogos ini apabila kadar permintaan air melebihi kapasiti pengeluaran air.

Berdasarkan maklumat terkini Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), beliau berkata kapasiti pengeluaran air dari 34 loji-loji dalam negara ialah 4,371 juta liter sehari (JLH) tetapi kadar permintaan tertinggi pada 17 Jun mencecah 4,410 JLH.

“Kapasiti rizab air dijangka menurun pada musim kemarau ini. Contohnya, kapasiti rizab air pada 5 hingga 11 Jun adalah antara 2.06 peratus hingga 1.22 peratus sahaja.

“Kita ada margin rizab yang nipis. Maka, kita perlu menambah kapasiti air dengan membina Langat 2 yang dijangka dapat memastikan lapan juta penduduk di kawasan-kawasan tersebut mendapat bekalan air yang mencukupi dan berterusan dari tahun 2014 sehingga 2025 tanpa membina loji-loji rawatan air tambahan,” katanya.

Chin berkata fasa pertama Langat 2 dijangka membekalkan 1,130 JLH sehari dengan peruntukan sekitar RM5 bilion sahaja berbanding dengan peruntukan sebanyak RM7.2 bilion yang diperlukan untuk menurunkan kadar air tidak berhasil (NRW) dari 32.3 peratus pada tahun ini kepada 20.83 peratus pada tahun 2020 iaitu penjimatan purata tahunan sekitar 126 JLH sahaja.

“Fakta ini jelas menunjukkan bahawa pelaksanaan projek-projek untuk menurunkan kadar NRW bukan merupakan jawapan bagi menangani masalah bekalah air di Selangor sebaliknya pelaksanaan Langat 2 merupakan opsyen terbaik.

“Saya menyeru kerajaan negeri Selangor memberikan kerjasama untuk memberikan kelulusan yang diperlukan bagi melaksanakan Langat 2.

“Saya menyeru kerajaan negeri Selangor supaya tidak membuat kenyataan-kenyataan yang mengelirukan mengenai bekalan air di negeri Selangor tetapi bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan untuk menanganinya demi kebaikan rakyat di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya,” katanya.

- Bernama


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments