Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube Vimeo

ROS Lboard

Fuziah: Isu Lynas jadi mimpi ngeri kepada MCA

 | June 25, 2012

Pemimpin PKR itu berkata, pemimpin MCA tidak bersuara mengenai isu tersebut sejak 2008 hingga 2011.

PETALING JAYA: Ahli Parlimen PKR Kuantan, Fuziah Salleh mendakwa isu Lynas yang diperjuangkannya telah menjadi mimpi ngeri kepada MCA.

“Nampak gayanya MCA  cukup punyai ketakutan yang amat sangat terhadap saya. Sehinggakan ketiadaan saya di Parlimen minggu lepas  dijadikan bahan ucapan utama mesyuarat agung tahunan mereka di Indera Mahkota, Paya Besar dan Kuantan.

“Saya juga perhatikan bahawa pemimpin MCA sanggup menyebar fitnah terhadap saya semata-mata untuk meraih kembali sokongan yang tentunya sudah cukup hilang terhadap parti itu,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Fuziah merujuk kepada kenyataan Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Liow Tiong Lai, Senator Datuk Ng Fook Heng, Ketua MCA Kuantan, Datuk Ti Lian Ker dan  Phang Tzu Ming semasa berucap dalam mesyuarat agung MCA bahagian Kuantan, Paya Besar dan Indera Mahkota yang dilaporkan didalam beberapa akhbar bahasa Mandarin hari ini.

Pemimpin lantang PKR itu juga berkata, dua ADUN MCA yang bercuti ke Australia atas tajaan Lynas dan sekembali ke negara  mengatakan bahawa kilang itu selamat.

Katanya, para pemimpin MCA juga tidak langsung bersuara tentang isu Lynas dari 2008 sehinggalah 2011.

Mereka tambahnya, membisu sewaktu Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri(MITI) membawa Lynas ke Malaysia dan ke Pahang pada awal 2008.

“Mereka juga membisu sewaktu setiap kali saya bangkitkan isu Lynas di Parlimen. Mereka hanya bersuara selepas mereka melihat rakyat menentang Lynas. Mereka bersuara kerana takut kehilangan sokongan rakyat.

“Maka dengan itu, janganlah mereka cuba untuk menjadi jaguh pula pada ketika ini,” tambah Fuziah.

`Rakyat tidak tertipu’

Pemimpin PKR itu menegaskan, Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) tidak wajar berada di Gebeng dan tidak harus dibenarkan beroperasi.

Menurutnya. segala laporan Jawatankuasa Khas Parlimen  (PSC) yang telah dibentangkan tersebut tidak lain dan tidak bukan hanyalah merupakan helah untuk membenarkan LAMP beroperasi.

“Tetapi) rakyat tidak akan tertipu lagi,” katanya.

Fuziah memberitahu, beliau keluar negara untuk belajar strategi pilihan raya dan bekerja dan bukan untuk bercuti.

Katanya, ketidakhadirannya  sewaktu perbahasan isu PSC tempoh hari tentu sama sekali tidak  menafikan segala usaha  menentang kehadiran LAMP selama tiga setengah tahun itu.

“Dan apa pun yang dikatakan oleh MCA tidak boleh menafikan segala  usaha tersebut. Rakyat juga cukup memahami bahawa hati saya di sebelah rakyat setiap kali isu Lynas saya bangkitkan di Parlimen  mahupun  di luar dewan.

“Rakyat lebih mengetahui apa yang mereka inginkan dan apa yang baik untuk rakyat amnya. Pemimpin MCA harus ikhlas berjuang untuk kebaikan dan kesihatan rakyat dan bukan  untuk mendapat sokongan semata,” tambahnya.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments