Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube

ROS Lboard

Permit bakar ladang ditarik balik

 | June 26, 2012

Masalah jerebu akibat kebakaran hutan khususnya di kawasan tanah gambut mesti ditangani segera.

LAWAS: Semua bentuk aktiviti pembakaran terbuka diarah untuk ditangguhkan manakala semua permit untuk pembakaran ladang yang telah dikeluarkan juga telah ditarik balik disebabkan cuaca kering dan jerebu yang mula melanda seluruh negeri dan rantau ini.

Walaupun bacaan indek pencemaran udara (IPU) dilaporkan rendah tetapi perkara ini tidak boleh dipandang ringan dan masalah jerebu akibat kebakaran hutan khususnya di kawasan tanah gambut mesti ditangani segera.

Pada masa yang sama, cuaca panas yang sedang melanda negeri ini khususnya dijangka akan berlarutan sehingga bulan September dan ini merupakan satu jangka masa yang amat panjang.

Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar II, Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hasan memberitahu demikian sewaktu mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa bencana daerah Lawas.

Seterusnya daerah Lawas telah menubuhkan sebuah pasukan yang terdiri daripada pihak RELA dan Polis DiRaja Malaysia yang diketuai oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat bagi menangani masalah kebakaran hutan di daerah Lawas berkuatkuasa semalam.

Awang Tengah yang turut menyumbang enjin pam air untuk pasukan ini turut dimaklumkan bahawa pasukan tersebut telah mula bertindak memadam kebakaran di kawasan Banting dan Kampung Belipat bermula jam 5.00 petang semalam hingga 11.30 malam tadi.

Kerja terpaksa dihentikan kerana masalah punca air yang sukar diperolehi pada musim kering ini dan dengan bantuan Jabatan Kerja Raya serta Majlis Daerah Lawas, kolam takungan air telah digali sebagai sumber air bagi pasukan berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lawas, Zaki Hussin mengesahkan bahawa seramai 12 anggota RELA dan 14 anggota bomba dengan seorang sahaja anggota polis telah terlibat dalam operasi tersebut yang bermula lewat petang semalam.

Musim kemarau

Awang Tengah turut mengarahkan agar Pegawai Daerah Lawas, Haji Mohd Supaih Haji Hamdan selaku pengerusi jawatankuasa bencana daerah untuk mengerakkan semua ketua masyarakat dan jabatan untuk memberi peringatan kepada orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika musim kemarau ini bagi mengelak sebarang insiden yang tidak diingini.

Malahan pergerakan Pemuda PBB Bukit Sari juga telah dikerah untuk turun padang bagi sama-sama membantu memberi penerangan serta lain-lain bantuan yang diperlukan oleh pihak jawatankuasa bencana daerah.

Menyentuh mengenai bekalan air di Lawas, Awang Tengah turut dimaklumkan mengenai perkembangan semasa yang mana tadahan air daripada Sungai Gelugus sudah kering dan punca air dipam terus daripada Sungai Lawas Damit bagi memastikan bekalan di kawasan bandar Lawas dan Punang terus diperolehi.

“Kita minta orang ramai yang mendapat bekalan air terhad untuk lebih berjimat serta memastikan air disimpan sebaik sahaja bekalan air diterima daripada pihak bertanggungjawab yang akan memaklumkan jadual mengepam air ke kawasan mereka,” ujarnya.

Masalah air di Lawas sememangnya telah dikenal pasti dahulu lagi dan usaha untuk membina sebuah loji rawatan air yang mampu menampung keperluan penduduk di daerah ini telahpun dilaksanakan.

Tetapi malang apabila kerja tersebut dihalang dan kawasan loji dibakar oleh pihak tidak bertanggungjawab yang hanya mementingkan diri sehingga menyebabkan majoriti penduduk Lawas berhadapan masalah kekurangan bekalan air bersih.

Kerja pelaksanaan disambung semula dan loji ini dijangka siap menjelang akhir tahun ini setelah semua peralatan dan infrastruktur yang telah dibina musnah dibakar.

“Bekalan air wajib diberi keutamaan kepada pihak hospital, sekolah dan kawasan kampong yang memperolehi air daripada bekalan graviti daripada bawah tanah,” tambah beliau.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments