Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube Vimeo

ROS Lboard

Himpunan Hijau ke Putrajaya: Kebangkitan politik Pahang

 | June 27, 2012

Himpunan anjuran PAS Pahang ini akan berlangsung pada hari Ahad.

TEMERLOH: PAS Pahang menggesa rakyat negeri ini untuk bangkit membuat perubahan politik dalam pilihan raya umum ke 13 (PRU13) menerusi Himpunan Hijau ke Putrajaya yang akan berlangsung pada hari Ahad ini.

Pesuruhjaya PAS Pahang Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, program yang bertemakan ‘Harapan Baru Pahang’ itu akan diadakan di Tapak Kompleks PAS Pahang, Kerdau dekat sini.

Program lanjutan daripada himpunan raksasa di Alor Setar pada 1 Jun lalu, akan bermula dari jam 3.00 petang sehinggalah ke tengah malam dengan pelbagai acara.

“Acara bermula dengan Talk Show anjuran Dewan Muslimat dengan menampilkan selebriti terkenal Aishah bersama Setiausaha Majlis Syura PAS Ustaz Nik Zawawi Saleh.

“Kemudian diikuti majlis santai anjuran Dewan Pemuda yang menampilkan penyanyi Pak Long dan kumpulan UNIC.

“Pada waktu yang sama, sekumpulan 100 Pemuda ARC bermotosikal akan berkonvoi dari Taman Kubang Gajah ke tapak program.

“PAS mahu menonjolkan model himpunan paling baik untuk dinilai sehingga rakyat boleh membanding, meneliti dan membuat keputusan antara dua himpunan anjuran Umno dan PAS,” kata Tuan Ibrahim.

Beliau yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat menjelaskan pada permulaan malam akan diadakan solat Maghrib, solat hajat dan munajat di dataran tersebut yang akan dipimpin oleh Dewan Ulama PAS Pahang.

Bermunajat

Tambahnya, himpunan tersebut menjadi satu medan mendekatkan diri sebagai makhluk Allah dengan rayuan, bermunajat dan memohon kepada Allah agar kemenangan Islam dapat dicapai dalam PRU13.

“Pada ceramah sebelah malam akan berlaku satu kejutan dengan perisytiharan tokoh tertentu yang akan menyertai PAS Pahang serta ikrar

perjuangan sebagai satu perisytiharan bahawa PAS dan Pakatan Rakyat sudah bersedia menggalas cabaran menggantikan Umno dan Barisan Nasional di negeri ini.

“Turut akan berucap nanti ialah Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Hu Pang Chaw dan Aishah manakala Tuan Guru Presiden

(Datuk Seri Abdul Hadi Awang) akan menyampaikan amanat di kemuncak acara,” terangnya dalam kenyataan media.

Mengenai kehadiran, beliau berkata PAS Pahang menyasarkan sekurang-kurangnya 10,000 ahli dan penyokong PAS namun berdasarkan komitmen PAS kawasan-kawasan, kehadiran boleh menjangkau 20,000 orang.

Tambahnya lagi, perhimpunan ini menjadi syiar kebangkitan rakyat Pahang bersama PAS di samping menyemarakkan lagi semangat dan daya juang ahli-ahlinya sebagai titik tolak merealisasikan hasrat menuju ke Wisma Sri Pahang.

Mengenai pemilihan Kerdau, Tuan Ibrahim berkata, ini bertepatan dengan PAS Pahang yang mula-mula ditubuhkan di situ oleh anak Kerdau sendiri iaitu Allahyarham Mohd Yasin Saleh.

Sementara itu, program akan dimeriahkan lagi dengan pameran, jualan gerai dan pelbagai pertandingan bagi menarik pengunjung.

Serentak dengan itu, Tuan Ibrahim mempersilakan seluruh pencinta keadilan dan orang ramai datang ke program berkenaan.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments