Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube

ROS Lboard

Hutang Talam: Selangor bentang kertas putih

 | July 3, 2012

Abdul Khalid meminta MCA menarik balik dakwaan kerajaan negeri berbohong dalam isu kutipan semula hutang syarikat pemaju tersenarai itu.

SUBANG JAYA: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata kerajaan negeri akan membentang kertas putih dalam Belanjawan 2013 nanti berhubung isu penyusunan semula hutang syarikat pemaju tersenarai Talam Corporation Bhd.

Justeru beliau meminta Ahli Parlimen Labis Datuk Chua Tee Yong menarik balik kenyataan berhubung dakwaannya bahawa kerajaan negeri berbohong dalam isu ini.

“Saya memberi masa kepada beliau untuk berfikir kembali untuk menarik balik dakwaannya itu,” katanya dalam sidang media selepas penutupan Majlis Dialog Bajet 2012 petang tadi.

Beliau berkata demikian bagi menjawab cabaran MCA yang mahu kerajaan negeri membentang segera kertas putih berhubung perkara ini.

MCA hari ini mendakwa kerajaan negeri telah “berbohong” mengenai usaha mengutip semula hutang bernilai jutaan ringgit dari syarikat tersenarai Talam yang berhutang dengan beberapa syarikat milik kerajaan negeri kerana hutang-hutang itu belum lagi dibayar.

Chua yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani mendakwa berkemungkinan kerajaan negeri menyalahguna dana awam itu apabila ia membantu “menyelamatkan” Talam dengan belanjawan tambahan sebanyak RM392 juta yang diluluskan Dewan Negeri Selangor pada 2009.

Abdul Khalid menolak dakwaan MCA itu sambil berkata, Chua tidak memahami isu penyusunan semula hutang Talam itu sehingga menyebabkan beliau membuat dakwaan yang tidak benar.

Chua yang mendedahkan perkara ini semalam, hari ini menyatakan bahawa Selangor menggunakan lebih RM260 juta untuk menyelamatkan Talam melalui proses perakaunan rumit.

Dalam sidang medianya awal tengah hari tadi beliau menjelaskan, jumlah RM1 bilion itu melibatkan jumlah yang beredar dalam seluruh urusniaga yang dipertikaikannya.

Abdul Khalid berkata beliau akan memberi penjelasan lanjut mengenai dakwaan MCA ini dalam sidang akhbar selepas mesyuarat Exco esok.

Mengenai dakwaan salah guna kuasa menukar status tanah di Petaling Jaya, beliau hanya boleh membuat ulasan selepas sesi pendengaran awam oleh SELCAT selesai dijalankan.

“Saya perlu bersikap berkecuali bagi membuka peluang kepada pihak lain untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai dakwaan ini,” katanya.

Menjawab soalan mengenai Universiti Selangor (UNISEL) pula beliau berkata, pihak universiti sedang menyiapkan laporan akaun yang tidak diaudit sejak lima tahun lalu, untuk dibentangkan dalam Mesyuarat Agung Tahunan UNISEL tidak lama lagi.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments