Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube Vimeo

ROS Lboard

Di mana sifat jantan Pemuda Umno, Perkasa?

 | July 5, 2012

Mereka yang kononnya mengaku memperjuangkan Islam hanya menikus apabila Presiden MCA mengeluarkan kenyataan menghina hukum hudud.

PETALING JAYA: Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) mencabar Pergerakan Pemuda Umno Malaysia dan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) agar bangkit menyatakan pendirian berhubung kenyataan Datuk Seri Chua Soi Lek yang menghina hukum hudud.

“Di mana hilangnya kejantanan Pemuda Umno, Perkasa dan NGO Melayu-Islam lain yang sebelum ini sangat garang dalam beberapa isu?,” soal Azmir Haji Mustafa, penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Wilayah Persekutuan.

Kenyataan Presiden MCA yang disifatkan sebagai menghina itu timbul ekoran cadangan Ahli Dewan Undangan Negeri Kemelah (Johor) Datuk Ayub Rahmat agar negeri Johor merupakan negeri pertama di negara ini yang melaksanakan hukum hudud.

“Pelaksanaan hudud di Johor akan meliputi semua kaum dan bukan seperti di Kelantan yang mahu melaksanakannya terhadap masyarakat Islam sahaja,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri Johor baru-baru ini.

Kenyataan Ayub Rahmat ini menimbulkan kemarahan Soi Lek dengan menyifatkan beliau sebagai sudah hilang akal dan mengugut MCA akan keluar Barisan Nasional (BN) sekiranya hukum hudud dilaksanakan.

Azmir dalam satu kenyataan media semalam mencabar Pemuda Umno dan Perkasa untuk bangun dan membela Ayub Rahmat dalam menuntut hak pelaksanaan hukum hudud.

“Apakah Pemuda Umno, Perkasa dan NGO yang mengaku kononnya mempejuangkan Islam hanya menikus selepas komen yang dilontarkan oleh Presiden MCA itu yang jelas menghina Islam dan masyarakat Islam di Malaysia?

“Mengapa tidak berani untuk berdemonstrasi di hadapan pejabat Soi Lek di atas nama perjuangan agama sedangkan hukum hudud itu adalah undang-undang Islam yang tertera dalam Al-Quran?

Beliau juga menyoal, “adakah keberanian mereka berbentuk selektif dan hanya mampu bersuara sekiranya perkara yang sama berlaku daripada kalangan pimpinan Pakatan Rakyat sahaja? Apakah Umno sangat takut dan gentar kepada Soi Lek?

“Justeru kami mencabar Pemuda Umno dan Perkasa membuat laporan polis terhadap Presiden MCA itu dan mendesak Soi Lek memohon maaf terhadap kenyataannya yang sungguh biadap itu,” katanya.

Azmir berkata pihaknya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Ayub Rahmat di atas keberanian beliau dalam menyatakan hasrat untuk menuntut kerajaan BN melaksanakan hukum hudud.

“Kami dari SAMM Wilayah Persekutuan merasa bangga terhadap keberanian Ayub Rahmat memandangkan keberanian sebegini amat jarang berlaku di kalangan Umno,” ujar beliau.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments