Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube Vimeo

ROS Lboard

Hasrat Anwar: Mahathir kata undur, Nik Aziz kata tidak

July 6, 2012

Ketua Pembangkang meluahkan hasrat untuk meninggalkan gelanggang politik sekiranya gagal mengambil alih Putrajaya pada PRU13.

PETALING JAYA: Hasrat Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu bersara daripada dunia politik jika tewas Pilihan Raya Umum 13 (PRU13) mendapat pelbagai reaksi daripada tokoh politik veteran.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat Anwar tidak perlu berlengah-lengah dengan hasratnya itu lagi dan menganggap ia hanya retorik politik sahaja.

Menurut beliau, jika Pakatan Rakyat kalah PRU13 sekalipun Anwar masih terus dengan impiannya untuk menjadi Perdana Menteri.

“Dia patut bersara sekarang, tak ada guna langsung…dia (Anwar) punya hajat cuma nak jadi Perdana Menteri,” katanya dipetik Bernama.

Mahathir dengan nada bergurau mencadangkan supaya diwujudkan jawatan Perdana Menteri ‘terhormat’ selama lima hari untuk diisi Anwar bagi memenuhi impian beliau sebelum bersara.

“Kita buat dua jawatan Perdana Menteri, bagi dekat dia satu ‘Honour Prime Minister’ selama lima hari, lepas itu dia boleh bersara,” katanya.

Berbeza pula dengan Mursyidul Am PAS Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mahu Anwar terus kekal berjuang memimpin Pakatan Rakyat.

Katanya, Anwar perlu membezakan antara perjuangan mengajar mahasiswa di medan akademik dengan perjuangan mengajar rakyat dalam medan politik.

“Justeru saya kurang bersetuju jika dengan hasrat beliau untuk bersara dan kembali mengajar.

“Berjuanglah di medan politik dan teruskan perjuangan mengajar rakyat,” katanya dipetik laman sosial Twitter kelmarin.

Anwar dalam wawancara akhbar Financial Times pada Selasa lalu meluahkan hasrat untuk meninggalkan gelanggang politik sekiranya gagal mengambil alih Putrajaya pada PRU13.

Menyifatkan PRU13 sebagai usaha terakhir kerana ‘letih’ dengan karenah politik Malaysia, Anwar berkata beliau mungkin menimbangkan untuk menyambung semula tugas sebagai tenaga pengajar akademik.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments