Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube

ROS Lboard

Imam Mahdi pemangkin keamanan

July 6, 2012

Jika tidak tinggal dari umur dunia ini kecuali sehari, Allah akan mengutus seorang lelaki dari Ahlul Bait ku untuk keadilan sepertimana ia dipenuhi dengan kezaliman.

FEATURE

Oleh Mohd Kamilzuhairi Abd Aziz

Barangkali tidak ramai yang mengetahui apakah signifikan tanggal 15 Syaaban dalam kalendar Muslim.

Tahukah anda bahawa seorang Penyelamat (saviour) dikenali sebagai Imam Mahdi, anak cucu daripada keturunan Rasulullah s.a.w. lahir pada tarikh 15 Syaaban tahun 255 Hijrah?

Konsep kemunculan seorang ‘penyelamat’ bagi umat manusia dari kezaliman yang berleluasa di akhir zaman bukan sahaja dipercayai oleh umat Islam tetapi juga terdapat dalam agama-agama lain.

Dalam agama Hindu terdapat nama seperti “Kalki”, dalam agama Yahudi disebut “Mashikh”, di kalangan masyarakat Zorostrian yang menyembah api dikenali sebagai “Saoshyant” dan “Maitreya Buddha” dalam agama Buddha serta “Jesus Christ” dalam agama Kristian.

Dalam Islam, konsep “Imam Mahdi” sebagai penyelamat umat dipercayai baik oleh para pengikut mazhab Sunni maupun Syiah.

Meskipun kita baru semalam melewati tarikh 15 Syaaban (bersamaan 5 Julai 2012) tetapi ingatan terhadap Imam Mahdi masih segar bugar.

Walaupun tidak semua umat Islam mempedulikan tentang kelahiran Imam Mahdi tetapi terdapat juga sebahagian besar daripada umat Islam yang masih ingat dan terus mengingatinya apabila tarikh itu menjelang tiba.

Dalam Al Quran terdapat beberapa ayat yang secara tidak langsung menyebut tentang kemunculan atau kezohoran Imam Mahdi di akhir zaman bagi menyelamat umat manusia dari kerajaan dan penguasa yang zalim.

Ayat 105 Surah Anbiyaa’, firman Allah swt bermaksud: “Dan demi sesungguhnya telah kami tulis dalam kitab Zabur setelah Taurat bahawasanya bumi ini akan diwarisi oleh hamba-hambaKu yang soleh.”

Dalam Surah Taubah ayat 33: “Dialah yang telah mengutuskan Rasulnya dengan petunjuk dan agama yang benar (agama Islam) untuk dimenangkan dan ditinggikan ke atas semua agama yang lain walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya.”

Allah berfirman dalam ayat 55 Surah An-Nur bermaksud: “Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal saleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Ia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka. Dan Ia menguat dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredhaiNya.”

Pemimpin global

Fenomena kezohoran Imam Mahdi bersifat global dan mencakup seluruh pelusuk dunia di mana beliau akan memenuhinya dengan keadilan dan kesejahteraan.

Sabda Nabi Muhammad s.a.w : “Jikalau tidak tinggal dari umur dunia ini kecuali sehari, Allah akan mengutuskan seorang lelaki dari Ahlul Bait ku (keluargaku) untuk memenuhkannya dengan keadilan sepertimana ia dipenuhi dengan kezaliman. (Sunan Abi Daud)

Jabir bin Samurah meriwayatkan Rasulullah s.a.w bersabda: “Setelahku ada dua belas pemimpin. Maka baginda s.a.w. berucap dengan perkataan yang aku tidak dengar. Bapaku memberitahuku yang baginda bersabda: “Semua mereka dari keturunan Quraisy”. (HR Bukhari)

Dalam kitab Sunan Abu Daud dan Ibnu Majah disebut, “Al-Mahdi adalah dari keluargaku dari keturunan Fatimah (puteri Nabi Muhammad s.a.w.)

Syeikh Zainal Abidin Al-Fathoni dalam kitab “Pembongkaran Perkara-Perkara Ghaib” menyebut satu persatu susur galur asal keturunan Imam Mahdi sehingga sampai kepada Rasulullah s.a.w.

Dalam kitab itu menyebut, Imam Mahdi adalah anak kepada Imam Hassan Al-Askari, anak kepada Ali Al-Hadi, anak kepada Muhammad Al Jawad, anak kepada Ali Ar Redha, anak kepada Musa Al-Khazim, anak kepada Jaafar Al-Shodiq, anak kepada Muhammad Al Baqir, anak kepada Ali Zainal Abidin, anak kepada Husain bin Ali, anak kepada Ali bin Abi Talib dan Fatimah Az Zahra’.

Kitab hadits

Jika digandingkan bancian riwayat Sunni dan Syiah berkenaan Imam Mahdi sebagai penyelamat di akhir zaman, tidak kurang dari 2,000 riwayat terdapat di dalam kitab-kitab hadits di mana:

  • 657 riwayat tentang kezuhuran Imam Mahdi
  • 389 riwayat yang Imam Mahdi dari Ahlul Bait
  • 214 riwayat yang Imam Mahdi dari keturunan Ali
  • 192 riwayat yang Imam Mahdi dari zuriat Fatimah Zahra
  • 148 riwayat Imam Mahdi dari keturunan Saidina Husain
  • 185 riwayat Imam Mahdi dari zuriat Ali Zainul Abidin
  • 146 riwayat Imam Mahdi dari zuriat Imam Hasan Askari
  • 132 riwayat Imam Mahdi akan memenuhi dunia dengan keadilan.
  • 91 riwayat yang Imam Mahdi punya keghaiban yang panjang.
  • 318 riwayat yang Imam Mahdi punya umur yang panjang
  • 136 riwayat yang Imam Mahdi ialah Pemimpin ke dua belas dari 12 pemimpin Ahlul Bait Nabi saw.

Riwayat mutawatir

Ramai ulama yang menyatakan kemutawatiran riwayat tentang Imam Mahdi, di antaranya Ash-Shaukani, Hafiz Abu Abdillah al-Ganji, Ibnu Hajar Asqalani dan lain-lain lagi bahkan ada yang menulis kitab berasingan tentang Imam Mahdi seperti Abu Nuim dan Ibnu Hajar Al- Haithami.

Adapun kebanyakan ulama Sunni berpandangan yang berbeza dari Syiah kerana mereka percaya bahawa Imam Mahdi masih belum lahir ke dunia.

Wahhabiyyun di dalam bulletin Rabithah al-Alam Al-Islami 1976 menyatakan…..apabila zahirnya kerosakan di dunia dan tersebarnya kekufuran dan kezaliman, Allah akan memenuhkan dunia melaluinya dengan keadilan seperti mana ianya dipenuhi dengan kezaliman.

Dia adalah Khulafa Rashidin terakhir, yang kedua belas seperti mana sabda Rasulullah s.a.w. dalam kitab-kitab sahih.

Ramai para sahabat meriwayatkan hadits-hadits berkenaan Al-Mahdi yang di antaranya Uthman Affan, Ali bin Abi Talib, Talhah bin Ubaidillah, Abdul Rahman bin Auf dan lain-lain.

Masyarakat pencinta Nabi s.a.w. dan Ahlul Baitnya meraikan maulid Imam Mahdi pada tanggal 15 Syaaban di seluruh pelusuk dunia.

Bagi agama Yahudi, mereka percaya bahawa penyelamat umat manusia adalah dari keturunan Nabi Daud manakala orang-orang Kristian mempercayai kedatangan kali kedua Nabi Isa untuk menyelamatkan umat.

Penganut Buddha percaya dalam setiap kitaran kehidupan selama 100 atau 1,000 tahun akan muncul seorang Buddha walaupun Gautama Buddha adalah Buddha yang terbaik. Bagi mereka penyelamat dunia akan muncul dalam bentuk Maitreya Buddha.

Avatar di dalam agama Hindu adalah penjelmaan semula dewa dan ianya bererti turun yakni turun secara khusus ke dunia bagi tujuan tertentu.

Istilah ini diguna pakai di dalam agama Hindu bagi penjelmaan dewa Vishnu yang sebahagian penganut Hindu sembah sebagai Tuhan.

Terdapat sepuluh penjelmaan khusus oleh Vishnu dan yang kesepuluhnya adalah ”Kalki’ yang bermakna abadi atau masa atau penghapus kezaliman yang akan muncul.’

Ringkasnya konsep penyelamat umat manusia adalah titik pertemuan seluruh umat manusia dengan harapan semoga perkara ini dapat dijadikan pemangkin bagi keamanan dan pemulihan sejagat.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments