Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube

ROS Lboard

Faksyen Paul Lathic – Bahagian 2

 | July 9, 2012

Bahagian akhir faksyen ini menceritakan lebih lanjut tentang seorang politikus yang dianggap legenda.

COMMENT

Undian memihak 99 peratus kepada Paul Lathic memandangkan dia dicalonkan sendiri oleh tokoh yang memegang jawatan tertinggi dalam parti XYZ.

Dua tahun kemudian, Paul Lathic berjaya memegang jawatan tertinggi setelah tokoh yang ‘melamar’nya dahulu meninggal dunia. Serta-merta Paul Lathic diangkat menjadi ketua; sekali gus Presiden Pulau Cinta.

Tapi tentu sahaja sepanjang terlibat dalam parti XYZ, dia terpaksa terlebih dahulu memperjuangkan kemerdekaan Pulau Cinta daripada belenggu penjajah. Perjuangannya yang bersungguh-sungguh bersama-sama pemimpin terdahulu tetap dikenang hingga hari ini.

Malah, apabila Paul Lathic meninggal dunia tahun lalu, pucuk pimpinan parti XYZ khasnya dan rakyat Pulau Cinta amnya tertanya-tanya siapakah yang akan mampu menggantikan tempat Paul Lathic sebagai pemimpin negara.

Tiada tokoh yang difikirkan layak selayak-layaknya. Tiada yang difikirkan akan dapat melaksanakan tugas pimpinan sebaik Paul Lathic, pemimpin legenda kebanggaan ramai itu.

“Wah! Aku memegang peranan Paul Lathic,” katanya sendirian.

Kemudian dia segera bangkit dari katil menuju ke cermin besar di sisi pintu bilik. Dipasangnya lampu lalu memandang wajahnya di dalam cermin.

“Ya, wajah aku memang iras wajah Paul Lathic!” Dia tersenyum. “Hidungku mancung seperti hidungnya juga. Dan lihat. Oh! Bentuk fizikalku juga menyamai bentuk tubuhnya.”

Ditenungnya dirinya yang bogel di dalam cermin. Dia tersenyum bangga. Diangkat-angkatnya kening sambil merenung matanya sendiri. Kemudian ditariknya bibir ke kiri.

“Bukankah ini gaya Paul Lathic pada zaman remajanya!”

Tapi segera dia mengerutkan kening.

“Alamak! Bukankah Paul Lathic ada gaya sendiri hampir setiap tahun?” fikirnya.

Semasa zaman remaja, Paul Lathic suka menarik bibirnya ke sisi. Kemudian dia suka mengangkat-angkat kening. Selepas itu ada pula dia memulakan trend mengangguk-angguk semasa berucap di khalayak ramai. Kemudian macam-macam lagi gaya yang terus sahaja menjadi ikutan ahli parti XYZ.

Dia terdiam. Dia perlu tahu dahulu peringkat umur Paul Lathic yang akan dibawakannya dalam pementasan yang bakal diadakan. Kemudian barulah dia boleh melatih diri secara intensif untuk menjiwai secara total watak dan perwatakan Paul Lathic yang dianggap legenda oleh penduduk Pulau Cinta.

“Mungkin juga aku akan diminta membawakan peranan Paul Lathic sejak dia menjadi ahli parti XYZ, sehinggalah ke peringkat kejayaannya menjadi pemimpin parti XYZ.”

Dia terasa amat bangga dah ghairah memikirkan kemungkinan itu. Kemudian dia teringat akan sesuatu.

“Wah! Itu tentu lebih mencabar kerana aku perlu menjiwai perwatakan Paul Lathic semasa dia mula-mula menjadi ‘kaki laung’ tanpa upah. Kemudian bagaimana sikap dan statusnya berubah apabila mula melibatkan diri dalam hal-hal politik. Kemudian bagaimana dia menjadi Presiden Pulau Cinta. …”

Setelah tersenyum sendiri memikirkan segala hal itu, dia memutuskan untuk tidur sahaja. Esok dia akan berhubung terus dengan pengarah drama untuk mendapatkan maklumat terperinci mengenai watak yang akan dipegangnya dalam pementasan drama nanti.

Ketibaan subuh disambut dengan ceria. Tanpa berlengah, ditujunya dewan latihan di pusat bandar. Pengarah sedang mengedarkan skrip kepada para pelakon yang terlibat dalam menjayakan drama terbaru itu.

Disedarinya bahawa para pelakon lain asyik menjeling ke arahnya dengan rasa cemburu. Mereka kelihatan berbisik sesama sendiri sambil menjuihkan bibir.

Biarkanlah! Tentu mereka cemburu dan iri hati, fikirnya.

Dilewatinya ruang dewan latihan dengan penuh bangga. Ditujunya kerusi tempat pengarah drama “Paul Lathic” sedang duduk meneliti skrip.

“Skrip saya, tuan?” tanyanya apabila menyedari bahawa dia tidak diberikan senaskhah.

“Oh! Kau mainkan peranan Paul Lathic.”

“Jadi, … skripnya?”

“Tak perlu.”

Dia tergamam seketika. Ditenungnya wajah pengarah muda itu.

“Mungkinkah aku dibenarkan membuat improvisasi?” fikirnya. “Jika begitu, tentu lebih hebat lagi. Aku akan dapat melakukan apa sahaja yang aku suka pada watak yang aku pegang.”

Para pelakon lain sedang membelek-belek skrip masing-masing sambil sesekala menjeling ke arahnya.

“Okey, kita cuba posisi setiap pelakon!” Pengarah muda melaung dari arah pentas. “Kau yang pegang peranan Paul Lathic, cepat ke mari.”

Segera dia bergegas menuju ke pentas. Dapat dirasakannya bahawa para pelakon lain sedang memperhatikannya.

Tentu mereka cemburu kerana aku memegang peranan bekas presiden! Demikian fikirnya.

Paul Lathic bukannya calang-calang orang. Itu setiap warga Pulau Cinta akui. Murid-murid sekolah pun boleh menyanyikan lagu yang memuja Paul Lathic jauh sebelum mereka belajar lagu kebangsaan Pulau Cinta. Pelajar sekolah membaca biografi Paul Lathic sebagai buku sejarah. Demikian juga para penuntut pusat pengajian tinggi.

Dan kini dia diberi penghormatan untuk memegang peranan sebagai negarawan unggul itu. Tentu pementasan kali ini membuka ruang kepadanya untuk menonjolkan diri. Mungkin dia akan berpeluang pula untuk menjerumus ke dalam bidang kepolitikan parti XYZ. Tambahan, mungkin mulai sekarang, dia akan diberi nama julukan Paul Lathic Jr.

“Okey, kau berbaring di tengah pentas.”

“Baring?”

“Ya. Itu sahaja yang perlu kau lakukan.”

“Apa?” tanyanya kehairanan.

“Yalah. Kau pegang peranan Paul Lathic pada hari dia meninggal dunia. Kau jadi mayatnya,” pengarah muda itu menjelaskan. “Kau hanya perlu berbaring kaku di tengah pentas. Watak-watak lain yang akan beraksi bagi menjayakan pementasan kita.”

“Saya sekadar menjadi mayat Paul Lathic?” – Tamat

Turut baca:

Faksyen Paul Lathic – Bahagian 1

Kisah zaman kanak-kanak Paul Lathic boleh dibaca dalam faksyen “Anak-anak Pulau Cinta” (Free Malaysia Today, 18 April – 1 Mei 2011).


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments