Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube

ROS Lboard

Sidang DUN untuk jelaskan isu Talam

 | July 9, 2012

Selangor MB boleh mengambil peluang membuat penjelasan mengenai dakwaan tersebut pada sesi penggulungan perbahasan lewat petang ini.

SHAH ALAM: Speaker DUN Selangor, Datuk Teng Chang Khim berkata sesi persidangan kali ini adalah wajar untuk kerajaan negeri memberi penjelasan mengenai dakwaan penyelewengan yang wujud dalam penstrukturan hutang Talam Corporation Bhd.

Teng berkata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim boleh mengambil peluang membuat penjelasan mengenai dakwaan tersebut pada sesi penggulungan perbahasan Enakmen Perbekalan Tambahan 2012 lewat petang ini.

“Saya percaya apabila beliau (Abdul Khalid) gulung, itu adalah masa terbaik. Saya juga percaya isu ini akan dibangkitkan oleh ahli dewan ketika perbahasan.

“Pastinya sesuatu yang mengejutkan nanti jika tak ada siapa bangkitkan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Abdul Khalid pada minggu lalu berkata kerajaan negeri akan membentang kertas putih dalam Belanjawan 2013 nanti berhubung isu penyusunan semula hutang Talam.

Kerajaan negeri memutuskan untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas MCA dan mereka yang membuat tuduhan penyelewengan wang lebih RM1 bilion bagi menyelamat syarikat pemaju tersenarai Talam.

MCA dakwa salahguna dana awam

MCA pada minggu lalu mendakwa kerajaan negeri telah “berbohong” mengenai usaha mengutip semula hutang bernilai jutaan ringgit dari Talam yang berhutang dengan beberapa syarikat milik kerajaan negeri kerana hutang-hutang itu belum lagi dibayar.

Ahli Parlimen Labis, Datuk Chua Tee Yong mendakwa berkemungkinan kerajaan negeri menyalahguna dana awam itu apabila ia membantu “menyelamatkan” Talam dengan belanjawan tambahan sebanyak RM392 juta yang diluluskan Dewan Negeri Selangor pada 2009.

Sementara itu ditanya adakah Jawatankuasa Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat) akan menyiasat mengenai dakwaan berkenaan, Teng berkata hingga kini tiada keperluan untuk berbuat demikian.

Bagaimanapun beliau memberi jaminan akan melakukan siasatan sekiranya penjelasan Menteri Besar mengenai isu itu adalah tidak memuaskan.

“Menteri Besar kata nak jawab ketika persidangan DUN. Jadi kita tunggu penjelasannya. Jika ahli berpuas hati dengan penjelasan, tak perlu siasatan.

“Tapi kalau ahli Selcat tak puas hati, pastinya kita akan panggil untuk pendengaran awam. Saya percaya akan ada penjelasan. Di selangor kita tak akan sembunyikan isu,” katanya.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments