Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube Vimeo

ROS Lboard

Pak Lah, Ku Li belum pasti sertai Himpunan Oren

 | July 11, 2012

Kontroversi gambar Pak Lah dan Ku Li yang terpampang di poster Himpunan Oren Selamatkan Felda itu mampu menjadi salah satu daya tarikan orang ramai menyertainya.

KUALA LUMPUR: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) hari ini tidak menjamin sebarang kemungkinan mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi dan tokoh veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah akan turun menyertai Perhimpunan Oren Selamatkan Felda Sabtu ini.

Presiden Anak Mazlan Aliman berkata, kontroversi gambar Pak Lah dan Ku Li yang terpampang di poster Himpunan Oren itu mampu menjadi salah satu daya tarikan orang ramai menyertainya.

“Saya nak jelaskan gambar pemimpin yang ditunjukkan sebenarnya bukanlah bermaksud semestinya mereka akan sertai perhimpunan.

“Mungkin penganjur letak gambar sebagai satu daya tarikan atau ada sesuatu yang telah disampaikan pemimpin ini dalam sesuatu isu,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PAS di sini hari ini.

Walau bagaimanapun, Mazlan mempertahankan kewujudan gambar Pak Lah dan Ku Li dalam poster itu sebagai relevan berikutan peranan pemimpin terbabit yang turut berpendirian membantah penyenaraian Felda di Bursa Saham.

Mazlan sebelum ini mendakwa penyenaraian Felda pada asalnya dicadangkan mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan pernah dibangkitkan semasa membentangkan Belanjawan pada tahun 2003.

Namun semasa Pak Lah mengambil alih pentadbiran, hasrat Mahathir itu dibatalkan kerana sedar penyenaraian itu pasti memberi risiko besar kepada warga Felda.

Begitu juga dengan Ku Li yang beberapa kali menegaskan kebimbangan sama selepas mengadakan beberapa pertemuan dengan beliau, katanya.

“Bagi saya meskipun Pak Lah tak menyertai saya percaya dia masih konsisten dengan pendiriannya penyenaraian tidak baik untuk warga Felda,” katanya.

Himpunan aman

Sementara itu, Mazlan berkata pihaknya masih berbincang dengan pihak istana dan polis untuk membenarkan mereka berarak dan menyerahkan memorandum kepada Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong.

Katanya, walaupun polis enggan membenarkan himpunan atas alasan menggganggu dan membahayakan pengguna jalan raya, namun beliau menjamin Himpunan Oren itu sebagai satu himpunan aman tanpa sebarang kejadian tidak diingini.

“Sehari sebelum himpunan insya’Allah akan selesai. Kita pun tak mahu kejadian tak diingini…..kita tak mahu berhadapan dengan gas (pemedih mata) seperti demonstrasi lain sebelum ini,” katanya.

Himpunan Oren itu diadakan memohon Agong campurtangan membatalkan penyenaraian FGV ke Bursa Malaysia demi menyelamatkan tanah milik peneroka Felda.

Selain Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, dijangka turut serta dalam demo itu ialah Timbalan Presiden Mohamad Sabu, Ketua Penerangan PAS Tuan Ibrahim Tuan Man, bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Ir Nizar Jamaluddin, pemimpin Pakatan Rakyat serta 50 badan bukan kerajaan (NGO) lain.

Selepas berarak sejauh 3.8 kilometer daripada Masjid Wilayah Jalan Duta ke Pintu 2 Istana Negara pada Sabtu ini nanti, lima daripada wakil Gerakan Selamatkan Felda dibenarkan masuk untuk menyerahkan memorandum kepada pegawai istana.

Memorandum itu mengandungi tuntutan lapan perkara:

  • Pecat Isa Samad sebagai Pengerusi Felda
  • Batalkan pinjaman bank peneroka
  • Batalkan cagaran tanah Felda Plantations
  • Selesaikan tuntutan peneroka
  • Hapuskan hutang peneroka
  • Lindungi tanah peneroka
  • Jaminan kepentingan masa depan generasi kedua dan ketiga
  • Batalkan Felda Plantations dan buka Felda baru untuk generasi baru Felda

Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments