Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube

ROS Lboard

Lajim, Bumburing batal hasrat lompat parti

 | July 13, 2012

Perkembangan ini telah menimbulkan seribu pertanyaan di kalangan para pemerhati.

KOTA KINABALU: Timbalan Pengerusi UPKO Datuk Wilfred Mojilip Bumburing dan Ahli Parliamen Umno Bahagian Beaufort, Datuk Lajim Ukin membatalkan hasrat mereka untuk melompat keluar Barisan Nasional (BN).

Para pemimpin PKR dan para pegawai penganjur majlis-majlis perjumpaan pada 15 Julai ini di Beaufort (untuk Lajim) dan di Tuaran (untuk Bumburing) telah mengesahkan bahawa rancangan untuk pengumuman rasmi mereka berdua mahu melompat keluar BN telah dibatalkan atau ‘ditunda’.

Perkembangan ini telah menimbulkan seribu pertanyaan di kalangan para pemerhati.

Para pemimpin atasan PKR, yang kecewa dengan perkembangan itu, nampaknya telah memberikan pelbagai alasan kenapa majlis-majlis pengumuman itu telah dibatalkan.

Menurut sumber, Bumburing menyalahkan bekas Ahli Parlimen Tuaran Datuk Kalakau Untol kerana terburu-buru mengatur majlis pengumuman itu sedangkan beliau belum bersedia berbuat demikian.

Kalakau, yang selama ini menjadi penyokong kuat Bumburing dalam banyak ceramah-ceramah Amanah, kini sangat memerlukan Bumburing dalam PKR, terutama Cabang Tuaran, untuk meningkatkan keupayaannya menyaingi Ketua Cabang PKR Tuaran, Hj. Ansari Abdullah.

Kalakau selama ini telah tidak sehaluan dengan Ansari sejak pemilihan parti tahun lalu di mana Kalakau telah menyebelahi Edward Linggu yang bertanding melawan Ansari untuk merebut jawatan Ketua Cabang.

Selepas itu Linggu menyertai kumpulan yang keluar beramai-ramai dari PKR untuk menyertai UBF dan STAR yang diketuai oleh Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan sekarang menjadi Ketua Bahagian STAR Tuaran.

Satu lagi sumber lain menyatakan bahawa Bumburing memberi alasan yang lemah bahawa beliau perlu menunggu Lajim yang telah mengambil keputusan untuk menunaikan fardhu Haji.

Sebab itulah kononnya majlis pengumuman yang baru akan diadakan pada penghujung Ogos.

Permainan Bumburing?

Tetapi satu sebab yang lebih meyakinkan telah diberikan oleh seorang pemimpin atasan STAR. Beliau percaya bahawa kedua-dua pemimpin itu telah ‘menunda’ majlis-majlis itu kerana mereka sebenarnya bermain tarik tali dengan kepimpinan BN, malah mungkin juga dengan Perdana Menteri sendiri.

Pemimpin STAR itu, yang mahu namanya tidak disebut, percaya bahawa dua orang yang diharapkan oleh PKR menjadi ‘katak-katak’ terbaru dalam politik Sabah itu telah dihubungi oleh para pemimpin atasan BN untuk berbincang dan berunding agar mereka terus tinggal dalam BN.

Ini memandangkan kesan yang boleh membawa bencana besar jika mereka meninggalkan BN dan menyertai pembangkang pada ketika ini di mana pilihan raya boleh diadakan bila-bila masa.

“Ini semuanya permainan wayang kulit dalam bentuk yang paling klasik,” kata Ketua Bahagian STAR itu.

Selain itu satu lagi penganalisis politik berkata bahawa mungkin kerana Tan Sri Bernard Dompok pernah mengumumkan hasratnya meletak jawatan sebagai Presiden UPKO, Bumburing mungkin melihat ini sebagai satu peluang baginya mengambil alih tampuk kepimpinan UPKO dan terus mendapat banyak faedah sebagai pemimpin BN.

Pandangan ini disahkan oleh seorang ahli PKR Tuaran bahawa Bumburing masih lagi menjadi Pengerusi Sabah Softwoods Sdn Bhd, yang mana semenjak berada di bawah pengurusannya telah meningkat nilai asetnya kepada M120 juta.

“Sebagai pengerusi sebuah agensi kerajaan yang mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh, sudah tentu tidak mudah untuk beliau lepaskan,” kata pemerhati itu.

Beliau juga berkata rancangan untuk keluar beramai-ramai dari UPKO memang diikuti oleh peserta yang sangat ramai.

Ini melibatkan para pemimpin atasan UPKO dari 19 Bahagian, termasuk Senator Datuk Maijol Mahap (yang jawatan senatornya akan habis tempoh pada bulan Disember ini) dan ahli Majlis Tertinggi UPKO merangkap bekas Adun Labuk, Datuk Tan Yong Gee.

Jelasnya, ini sudah tentu akan melibatkan tuntutan keras daripada mereka untuk mendapat jaminan agar dapat bertanding dan mendapat jawatan-jawatan penting dalam PKR.

“Ada kemungkinan banyak dari tuntutan-tuntutan ini belum dapat diselesaikan oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.

Bumburing ancaman bagi Ansari?

Tetapi yang lebih serius, kerana jumlah mereka yang akan masuk memang begitu ramai, apa lagi dengan para peserta Lajim dari Umno, sudah tentu ini akan menenggelamkan barisan kepimpinan PKR Sabah yang ada sekarang.

“Tujuan mereka sudah tentu untuk mengambil-alih bakal-bakal calon yang sudah dikenalpasti dan juga jawatan-jawatan dalam parti di peringkat negeri dan cabang.

”Ini telah menyebabkan ramai para pemimpin negeri, terutama mereka yang menyebelahi Ansari, merasa tergugat dan terancam.

“Malahan, sudah banyak rungutan kedengaran di kalangan kepimpinan parti apabila sahaja berita bahawa satu kumpulan ramai dari UPKO dan Umno akan menyertai PKR Sabah.”

“Ketika ini Ansari menguasai sokongan majoriti daripada Ketua-Ketua Cabang kerana kita tahu drama ini masih berkembang, apa juga yang akan berlaku selepas ini memang rumit untuk diramalkan.

“Tetapi yang jelasnya para pemimpin PKR di Semenanjung dan Sabah, suasana sudah ketara muram akibat dari kekecewaan terhadap dua majlis yang ditunggu-tunggu membuat letupan politik yang besar, tetapi akhirnya menjadi anti-klimaks yang menjatuhkan maruah PKR.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments