Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube Vimeo

ROS Lboard

Peneroka GATCO dapat tawaran 4 ekar tanah

 | July 13, 2012

Bagaimanapun K Krishnan pula mendakwa 70 peratus peneroka masih belum memberikan keputusan muktamad sama ada menerima tawaran itu.

JEMPOL: Penantian selama 35 tahun peneroka Kampung Serampang Indah (GATCO) mendapat sinar baru apabila Menteri Besar Negeri Sembilan Mohamad Hasan mengumumkan mereka akan menerima empat ekar tanah perladangan setiap seorang.

Dalam majlis pengumuman khas pagi tadi, beliau berkata peneroka asal dan waris peneroka asal akan menerima empat ekar setiap seorang sementara peneroka yang membeli daripada peneroka asal akan menerima dua ekar tanah setiap seorang.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak GATCO Abdul Rahman Ali Mohamad berkata, “70 peratus peneroka berpuas hati dengan tawaran Menteri Besar itu tetapi masih ada 30 peratus peneroka yang tetap berkeras mahukan lapan ekar tanah setiap seorang.

“Alhamdulillah kami amat berpuas hati dengan tawaran Menteri Besar,” katanya.

Bagaimanapun Penolong Setiausahanya K Krishnan pula mendakwa 70 peratus peneroka masih belum memberikan keputusan muktamad sama ada menerima tawaran Mohamad Hasan atau tidak.

“Kami mahu Menteri Besar dan kerajaan negeri menunaikan hak sebenar peneroka seperti mana yang terkandung dalam perjanjian di antara peneroka dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Negeri Sembilan (PKNNS) dan GATCO ketika kami mula-mula meneroka tanah ini pada tahun 1977.

“Kami tetap mahukan lapan ekar tanah seperti mana yang terkandung di dalam perjanjian tersebut,” kata Krishnan.

Apabila ditanya FMT apakah tindakan selanjutnya, Krishnan berkata peneroka terbabit akan duduk dan berbincang semula dan memikirkan apakah langkah dan ruang yang ada untuk mereka menuntut lapan ekar setiap seorang.

“Perjuangan kami belum berakhir. Kami tetap berharap agar dapat berjumpa dengan Menteri Besar untuk berunding semula”.

Apabila ditemui wartawan, Mohamad Hasan berkata beliau telah melakukan usaha yang terbaik dan telah berunding dengan syarikat Thamarai Holding Sdn Bhd untuk mendapatkan tawaran yang baik untuk peneroka terbabit.

Mohamad Hasan berkata terpulang kepada peneroka sama ada mahu menerima tawaran tersebut atau tidak.

Sebelum itu seawal jam 8.30 pagi, kira-kira 50 peneroka GATCO mengadakan bantahan aman di jalan masuk ke GATCO dengan memegang sepanduk menuntut lapan ekar tanah setiap peneroka.

Bagaimanapun tidak ada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments