Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube

ROS Lboard

Kenyataan Musa tentang kadar jenayah bersifat peribadi

July 14, 2012

Kadar indeks jenayah di Malaysia masih lagi rendah berbanding negara lain di dunia.

KOTA SAMARAHAN: Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar menyifatkan kenyataan bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan berhubung kadar indeks sebenar jenayah di negara ini masih tinggi sebagai bersifat peribadi.

Beliau berkata kadar indeks jenayah di Malaysia masih lagi rendah berbanding negara lain di dunia dan statistik yang diperoleh merangkumi keseluruhan kes jenayah sebagaimana yang ditentukan di bawah indeks keamanan global (GPI).

“Bagi saya, itu pandangan peribadi beliau (Tan Sri Musa) dan beliau sebagai bekas Ketua Polis Negara tidak mendapat maklumat terkini berhubung statistik semasa,” katanya kepada pemberita selepas perbarisan tamat latihan Sijil Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (Kor Suksis) Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) SeMalaysia kali ke-8 di Universiti Malaysia Sarawak di sini.

Katanya memang diakui ada berlaku kes jenayah dalam negara namun keadaan terkawal.

Ismail berkata masyarakat umum tidak perlu bimbang kerana Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa memastikan rakyat di negara ini berasa selamat daripada ancaman penjenayah.

Musa, dalam temu bual yang dibuat bersama sebuah laman portal, berkata polis cuba menyembunyikan kadar sebenar jenayah di negara ini dan memaklumkan tahap keselamatan orang awam berada pada peringkat yang membimbangkan.

Bagaimanapun, baru-baru ini dilaporkan kes jenayah turun sebanyak 10.1 peratus kepada 63,221 kes antara Januari dan Mei berbanding 70,343 kes pada tempoh sama tahun lalu.

Dalam pada itu, Ismail berkata untuk meningkatkan lagi mutu perkhidmatan PDRM ke tahap dunia, lebih banyak anggota yang berpendidikan tinggi akan diserap ke dalam pasukan itu, misalnya anggota Kor Suksis yang telah menamatkan pengajian.

Katanya PDRM kini mempunyai pelan lima tahun untuk mencapai matlamat pasukan polis yang berkelas dunia.

“PDRM sebenarnya telah mendapat banyak pengiktirafan daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu melalui beberapa penyertaan misi pengaman dunia selain turut menerima permohonan daripada beberapa negara untuk membangunkan sistem kepolisan di negara masing-masing,” katanya.

- Bernama

Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments