Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube

ROS Lboard

Muhyiddin mahu BN pertahan Gelang Patah habis-habisan

July 14, 2012

Kerusi Parlimen Gelang Patah perlu dipertahankan kerana ia menempatkan pusat pentadbiran kerajaan negeri Johor Nusajaya.

JOHOR BAHARU: Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu Barisan Nasional (BN) Gelang Patah berusaha habis-habisan dalam mempertahankan kerusi Parlimen Gelang Patah pada Pilihan Raya ke-13 (PRU-13) yang menurutnya akan berlangsung “tidak lama lagi.”

Timbalan Perdana Menteri merangkap Timbalan Pengerusi BN berkata kerusi Parlimen Gelang Patah perlu dipertahankan kerana ia menempatkan pusat pentadbiran kerajaan negeri Johor iaitu Nusajaya.

“Saya meminta setiap anggota Umno Bahagian Gelang Patah dan anggota komponen BN mempertahankan habis-habisan Parlimen Gelang Patah. Tidak ada masa untuk istirehat lagi, kita kena kerja keras 24 jam sehari untuk memastikan kemenangan (BN),” katanya hari ini.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata demikian ketika merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Gelang Patah, yang turut dihadiri ketua bahagiannya Datuk Abdul Aziz Sapian.

Parlimen Gelang Patah yang kini disandang oleh wakil rakyat BN, Tan Ah Heng daripada MCA, turut terdiri daripada kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Nusajaya dan Dun Skudai.

Kerusi Dun Nusajaya disandang oleh Abdul Aziz, manakala kerusi Dun Skudai pula dimenangi Pengerusi DAP Johor Dr Boo Cheng Hau.

Spekulasi kuat

Sebelum ini, terdapat spekulasi kuat menyatakan DAP mahu meletakkan Dr Boo sebagai calonnya bagi kerusi Parlimen Gelang Patah manakala ada juga ura-ura Parti Keadilan Rakyat (PKR) mahukan pengerusi Negeri Johornya Datuk Seri Chua Jui Meng bertanding kerusi Parlimen itu.

Muhyiddin berkata Nusajaya sebagai pusat pentadbiran kerajaan negeri Johor merupakan antara kawasan yang paling maju di Malaysia dengan pelbagai kemudahan infrastruktur dan pendidikan.

Selain menempatkan Universiti Teknologi Malaysia, katanya Parlimen Gelang Patah turut memiliki beberapa institusi pengajian tinggi swasta bertaraf dunia seperti Newcastle Medicine University Malaysia, Marlborough College dan taman tema Legoland yang pertama di Asia.

Kepada kepimpinan Umno Bahagian, beliau menasihati mereka supaya mengetepikan segala perbalahan sesama sendiri dan bersatu-padu dalam memastikan kemenangan BN.

Katanya anggota Umno di Bahagian Gelang Patah perlu menyokong sesiapa sahaja yang dipilih oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai calon BN bagi kerusi Parlimen dan Dun di Gelang Patah.

Kerja keras

“Sesiapa sahaja yang dipilih oleh Perdana Menteri, kita perlu memberi sokongan tidak berbelah bagi dan bekerja keras. Kemenangan dia (calon) itu juga adalah kemenangan kita,” katanya.

Beliau meminta anggota MCA di Gelang Patah melipatgandakan usaha mereka dan bekerja “10 kali ganda lebih kuat” dalam memastikan kemenangan parti pemerintah di kawasan itu.

Kejayaan mempertahankan kerusi Parlimen Gelang Patah, kata Muhyiddin, turut menyumbang kepada usaha BN untuk mempertahankan tampuk kekuasaannya pada peringkat pusat pada PRU-13.

Timbalan Perdana Menteri berkata kerajaan pimpinan Perdana Menteri dalam tempoh tiga tahun telah melaksanakan pelbagai program bagi membantu rakyat, antaranya Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Sementara itu, beliau turut mengumumkan peruntukan RM500,000 untuk pelaksanaan pelbagai program pembangunan rakyat di Parlimen Gelang Patah.

- Bernama

Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments