Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube Vimeo

ROS Lboard

ANAK desak PKNK jual balik semua saham FGVH

 | July 16, 2012

Mazlan Aliman juga akan mencadangkan agar syarikat berkaitan kerajaan tersebut menjual saham dan memohon maaf pada rakyat.

PETALING JAYA: Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan(ANAK) Mazlan Aliman mahu Perbadanan Kerajaan Negeri Kedah (PKNK) menjual kembali saham Felda Global Ventures Holdings (FGVH) sekiranya mereka telah membelinya.

“Kita konsisten dengan pendirian menentang FGVH. Saya telah nyatakan pendirian saya dalam mesyuarat PAS Pusat.

“Jika benar, saya akan bantah kerana ia bertentangan dengan solidariti parti komponen Pakatan Rakyat.

“Kita juga akan mencadangkan agar syarikat berkaitan kerajaan tersebut menjual saham dan memohon maaf pada rakyat,” kata Mazlan yang juga ahli Jawatan Kuasa PAS Pusat dan Ketua Penerangan PAS Johor.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan PKNK yang membeli 500,000 unit saham peruntukan Kementerian Perdagangan dan Industri Antarabangsa  (MITI) untuk kuota bumiputera pada harga RM4.55 beberapa hari yang lalu.

Saham FGVH mula diperdagangkan di Bursa Saham Kuala Lumpur pada 28 Jun lalu.

Menurut Mazlan, beliau akan turut mengetengahkan isu ini kepada pimpinan PAS Pusat untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Ini kerana PKNK dipengerusikan oleh Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak yang juga adalah Pesuruhjaya PAS Kedah.

Bidas Timbalan Menteri

Mazlan turut berkata bahawa ANAK akan membuat pemeriksaan sama ada syarikat berkaitan kerajaan di negeri pimpinan Pakatan Rakyat lain turut ditawarkan untuk membeli saham FGVH.

Dalam perkembangan berkaitan beliau turut membidas kenyataan Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan berkenaan Himpunan Oren pada hari Sabtu.

“Kalau warga Felda sokong, adakah referendum dibuat atau peneroka diumpan dengan habuan sebanyak RM5,000 sebanyak tiga kali,” kata Mazlan.

Menurut laporan media semalam, Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata kurangnya penyertaan peneroka  membuktikan kerajaan BN mengambil langkah yang betul yang disokong penuh oleh peneroka Felda.

“Pada perkiraan saya tak kurang dari 10,000 orang menyertai Perhimpunan Oren. Bagi peneroka Felda ia satu sejarah kerana tak pernah sekali pun sejak 1974 perhimpunan disertai peneroka untuk menyatakan bantahan,” kata Mazlan.

Beliau turut mendakwa jumlah penentangan terhadap FGVH sebenarnya jauh lebih besar terutamanya di kalangan anak muda kerana mereka bimbang ibu bapa mereka ditipu.

Mazlan percaya bahawa penentangan anak muda yang terdedah kepada sumber maklumat Internet akan menampakkan kesan di dalam pilihan raya umum ke 13 kerana kawasan peneroka FELDA meliputi 54 kawasan parlimen.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments