Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube Vimeo

ROS Lboard

ANAK marah PKNK beli saham FGVH

 | July 19, 2012

PKNK harus minta maaf dengan keputusan mereka yang terburu-buru tanpa merujuk kepada pemimpin atasan.

KUALA LUMPUR: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) hari ini menuntut supaya Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) memohon maaf secara terbuka kerana membeli setengah juta saham Felda Global Ventures Holdings (FGVH).

Kesal dengan pembelian saham FGVH, Pengerusi Anak Mazlan Aliman berkata pihaknya tidak dapat menerima sebarang alasan munasabah yang diberikan kerajaan PAS Kedah walaupun ia membabitkan keuntungan perniagaan.

Mazlan berkata, pihaknya terlalu kecewa setelah lapan bulan ‘bertarung’ dengan kerajaan Pusat menentang penyenaraian itu namun masih ada pemimpin yang tidak peka dengan isu politik semasa.

“Saya bukan nak persoalkan jumlah saham tapi sebagai NGO yang bertarung dengan kerajaan isu ini malang kalau ada pihak yang tak ikut perkembangan yang kita buat sejak lapan bulan dulu dan turut disokong sepenuhnya Pakatan Rakyat,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PAS di sini hari ini.

Enggan berselindung dengan kekesalannya, Mazlan berkata perkara itu tidak sepatutnya terbongkar terutamanya ketika peneroka dan penyokong Felda sedang bersemangat menyertai Himpunan Oren pada Sabtu lalu.

‘Katak di bawah tempurung’

“Tak nampak logik langsung beli saham atas dasar untung pelaburan. Tak tahu sama ada pegawai (PKNK) ni seperti ‘katak di bawah tempurung’ yang tak tahu isu semasa.

“Kita tak mahu melebarkan polemik ini tapi bila diasak tentang pendirian ANAK kita kesal dengan apa yang berlaku dan harap lepas ini jadi satu pengajaran oleh anak-anak syarikat kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat,” katanya.

Walaupun bersetuju dengan tindakan Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak yang mahu PKNK menjual kembali saham itu, namun Mazlan berkata pihaknya tetap bertegas supaya satu permohonan maaf dilakukan terutamanya terhadap peneroka Felda yang menentang penyenaraian FGVH.

“PKNK harus minta maaf dengan keputusan mereka yang terburu-buru tanpa merujuk kepada pemimpin atasan.

“Harap jadi satu pengajaran dalam konteks Pakatan Rakyat supaya sebarang polisi yang berkait dengan pendirian pusat dapat diteliti terlebih dahulu,” katanya.

Azizan semalam dilaporkan berkata pembelian 500,000 unit saham yang dilakukan PKNK tidak dimaklumkan kepada pihaknya terlebih dahulu dan ia merupakan kesalahan teknikal yang biasa.

“PKNK ada bajet khas untuk pembelian saham sebab kerajaan selalu keluar saham dan diberi keutamaan melalui Miti (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri).

“Memang semua saham keluar diberi tawaran kepada kita dan kita beli, tapi isu ini sensitif sikit dan kita akan jual balik (saham FGVH)… jangan pihak lain kata kita tak bersama Pakatan Rakyat sebab ini masalah teknikal,” katanya.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments