Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube Vimeo

ROS Lboard

Syarikat gagal bida dianugerah kontrak KLIA2

 | July 20, 2012

Advanced Air Traffic Systems (M) Sdn Bhd (AAT) turut mengalami masalah dalam membangunkan sistem radar di Pusat Kawalan Trafik Udara Nasional (NATCC) di Subang.

PETALING JAYA: PKR mendakwa sebuah syarikat yang gagal menepati spesifikasi teknikal untuk membina sistem kawalan trafik udara untuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2) dianugerahkan kontrak terbabit.

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar turut mendakwa syarikat tersebut juga gagal dalam membida projek berkenaan.

Nurul Izzah mendakwa syarikat Advanced Air Traffic Systems (M) Sdn Bhd (AAT) yang turut mengalami masalah dalam membangunkan sistem radar di Pusat Kawalan Trafik Udara Nasional (NATCC) di Subang seperti didedahkan baru-baru ini, merupakan satu daripada tiga syarikat yang turut serta dalam bidaan tersebut.

Dakwa beliau, meskipun laporan penilaian teknikal oleh syarikat AECOM pada Disember 2011 mengiktiraf AMP Corporation (M) Sdn Bhd (AMCOP) dan menyarankan ia dipilih, namun akhirnya AAT menerima projek tersebut.

“Walaupun nilai bidaan AAT adalah lebih rendah daripada AMCOP, kelulusan hanya boleh diberikan sekiranya AAT menepati kesemua keperluan teknikal yang disenaraikan. Tambahan lagi, Mesyuarat Jawatankuasa Khas Perolehan MAHB juga telah dengan jelas memberikan penilaian dan rekomendasi seperti berikut pada 15 Mac 2012.

Keselamatan terancam

“Pemilihan AAT mengejutkan kerana sebelum ini AAT juga terjerumus di dalam kontroversi yang mengancam keberkesanan keselamatan sistem kawalan udara di Malaysia serta para penumpang pengangkutan udara menerusi makluman dalaman tentang senarai kecacatan dan kestabilan penyenggaraan sistem radar MIP-2 di Lapangan Terbang Subang,” dakwa beliau.

Beliau yang juga ahli parlimen Lembah Pantai mendakwa, senarai kecacatan di dalam sistem MIP-2 adalah mirip masalah teknikal yang dihadapi oleh sistem LEFCO keluaran Selex Sistemi Integrati (SELEX) yang dibatalkan di Cyprus.

AAT merupakan syarikat dimiliki SELEX yang membangunkan sistem radar di Pusat Kawalan Trafik Udara Nasional (NATCC) di Subang.

“Kalau Parlimen Cyprus berani membatalkan projek, saya desak Kementerian Pengangkutan menjemput ICAO untuk mengadakan audit ke atas sistem MIP-2 dan sekaligus melenyapkan tanda tanya terhadap keberkesanan sistem radar di Malaysia.

“MAHB dan MOT wajib menjawab dan menjustifikasikan penganugerahan projek sistem kawalan udara KLIA2 kepada AAT kerana kita tidak mahu keselamatan orang awam diperjudikan dengan pemilihan semberono,” katanya.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments