Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube

ROS Lboard

Kes Sosilawati: Peguambela gagal panggil 3 DPP sebagai saksi

July 23, 2012

Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Datuk Akhtar Tahir membuat keputusan untuk menolak permohonan itu hari ini.

SHAH ALAM: Pihak pembelaan dalam kes bunuh jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain, gagal dalam cubaan
mereka untuk memanggil tiga Timbalan Pendakwa raya sebagai saksi dalam perbicaraan kes itu.

Hakim Mahkamah Tinggi di sini Datuk Akhtar Tahir membuat keputusan untuk menolak permohonan itu hari ini.

Sebelum ini, peguam Manjeet Singh Dhillon mengemukakan permohonan untuk mensapina Timbalan Pendakwa raya Ishak Mohd Yusoff, Saiful Edris Zainuddin dan Idham Abd.Ghani, untuk menjadi saksi dalam permohonan pihak pembelaan membuang dua eksibit dalam kes berkenaan.

Ini berikutan eksibit berkenaan, iaitu nota prosiding membabitkan kes dua saksi pendakwaan, U. Suresh dan K. Sarawanan yang didakwa atas kesalahan melupuskan bukti dalam kes pembunuhan itu, telah dikemukakan di mahkamah oleh tiga Timbalan Pendakwa raya berkenaan dan mereka juga terlibat dalam prosiding kes membabitkan Suresh dan Sarawanan di Mahkamah Majistret Telok Datok, Banting.

Suresh, 28, dan Sarawanan, 21, kini menjalani hukuman penjara 20 tahun di Penjara Sungai Udang, Melaka.

Hakim Akhtar turut menolak permohonan pembelaan untuk menangguhkan prosiding perbicaraan sementara menunggu rayuan mereka terhadap keputusannya itu.

Beliau bagaimanapun memberi tempoh sehingga Khamis ini bagi pihak pembelaan mendapatkan perintah dari Mahkamah Rayuan supaya beliau menangguhkan prosiding perbicaraan itu.

‘Mala fide’

Terdahulu, dalam penghakimannya, Akhtar berkata pihak pembelaan sebelum ini telah menimbulkan beberapa keadaan di mana tiga Timbalan Pendakwa raya berkenaan telah bertindak secara ‘mala fide’ (berniat jahat) apabila mendakwa Suresh dan Sarawanan di mahkamah.

Beliau berkata berdasarkan Perlembagaan Persekutuan kuasa untuk mendakwa diberikan sepenuhnya kepada Timbalan Pendakwa raya dan mahkamah tiada alasan untuk mempersoal perkara itu.

“Sekiranya kuasa itu boleh dipersoal, setiap pertuduhan yang dibuat oleh pihak pendakwaan akan turut dipersoal. Sekiranya seseorang invividu telah dituduh, mahkamah yang akan putuskan sama ada pihak pendakwaan berjaya membuktikan pertuduhan yang dibuat atau sebaliknya,” katanya.

Mengenai nota prosiding kes Suresh dan Sarawanan, Akhtar berkata kebenaran untuk menggunakan dokumen berkenaan dalam perbicaraan hanya membabitkan isu sama ada keterangan kedua-dua saksi itu diberi secara sukarela atau paksaan.

“Satu-satunya pihak yang boleh memutuskan perkara itu (sukarela atau paksaan) ialah hakim. Dalam kes ini Majistret (Majisret Telok Datok) telah memutuskan pengakuan salah Suresh dan Sarawanan dibuat secara rela, justeru, mahkamah ini tidak perlu memanggil saksi lain untuk membuktikan sama ada pengakuan salah mereka dibuat secara paksa atau rela.

Manjeet berkata pihak pembelaan akan merayu terhadap keputusan itu.

Perbicaraan masih berjalan

Akhtar berkata beliau tiada masalah dengan niat pihak pembelaan untuk merayu tetapi prosiding perbicaraan perlu diteruskan kerana keputusannya itu bukan keputusan terakhir memandangkan perbicaraan masih berjalan.

Peguam Amer Hamzah Arshad berkata prosiding perbicaraan perlu ditangguhkan berikutan ketiga-tiga Timbalan Pendakwa raya berkenaan merupakan subjek dalam rayuan itu dan isu penangguhan tidak akan timbul sekiranya pasukan pendakwaan diambil alih oleh Timbalan Pendakwa raya lain.

Akhtar bagaimanapun tetap dengan keputusannya untuk tidak menangguhkan prosiding perbicaraan kecuali mendapat arahan daripada Mahkamah Rayuan untuk berbuat demikian.

Bekas peguam N.Pathmanabhan, 43, dan tiga pekerja ladang, T.Thilaiyalagan, 21, R.Matan, 22, dan R.Kathavarayan, 32, diperintah membela diri atas tuduhan membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Ladang Gadong di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat di Banting antara 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

- Bernama


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments