Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube

ROS Lboard

Harga naik setiap Aidilfitri

 | July 26, 2012

Bukan sahaja di kedai-kedai tepi jalan tetapi juga di pasar raya besar, kata Persatuan Pengguna Islam Malaysia.

PETALING JAYA: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mendakwa kenaikan barangan keperluan menjelang perayaan Aidilfitri oleh peniaga tidak bertanggungjawab berlaku setiap tahun.

“Ini perkara biasa, berlaku setiap tahun menjelang perayaan. Bukan sahaja makanan tetapi juga kain baju.

“Bukan sahaja di kedai-kedai tepi jalan tetapi juga di pasar raya besar. Inilah tabiat peniaga-peniaga kita mahu mengaut untung seberapa banyak di musim perayaan,” kata Setiausahanya, Datuk Nadzim Johan.

Nadzim berkata, peniaga menggunakan pelbagai helah untuk menaikkan harga termasuk kos pengangkutan, harga barangan meningkat serta kehabisan stok.

Katanya, peniaga pasar raya menggunakan taktik menukar harga lama dengan harga baru yang lebih mahal.

`Berleluasa’

“Pekerja akan melekatkan harga baru tersebut dan ditulis potongan 50 peratus menjadikan harga sama dengan harga lama.

“Perkara ini diberitahu oleh pekerja-pekerja pasaraya sendiri,” tambahnya.

Nadzim menasihatkan pengguna memboikot atau mengurangkan kadar belian ke atas peniaga yang tidak bertanggungjawab itu.

Sementara itu sebuah NGO masyarakat berkata, harga makanan di pasar Ramadan meningkat dari masa ke masa.

Pengerusi Komunikasi, Penerangan dan Komuniti (Kompak) Halimey Abu Bakar berkata, peniaga pasar Ramadan juga mula tidak menjual makanan dan dalam jumlah yang kecil.

“Ada yang tidak jual kuih satu unit, sebaliknya satu pakej iaitu tiga. Peniaga ambil kesempatan dari permintaan berlebihan pengguna.

“Pembeli pula buat tidak kisah menyebabkan perkara ini berleluasa,” katanya.

Ahli Majlis Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Anthony Sivabalan ketika dihubungi berkata, kesan kenaikan harga di bulan Ramadan ini amat dirasai oleh orang ramai terutamanya golongan kurang upaya (OKU) dan warga tua.

“Kenaikan harga barangan ini amat membebankan golongan ini, mereka perlu menampung kos perubatan dan sara hidup yang mahal dan terpaksa pula menghadapi kenaikan harga barangan keperluan”.

“Golongan OKU tidak mempunyai pendapatan tetap dan sebahagian besarnya hanya bergantung pada bantuan kerajaan yang tidak mencukupi untuk meneruskan kehidupan yang selesa. Sudah pasti kenaikan harga ini akan menambah derita yang mereka,” katanya.

Sivabalan berkata kerajaan sepatutnya membantu golongan ini dengan cara memberikan diskaun atau potongan harga istimewa  untuk meringankan beban.

Katanya, bukan golongan ini sahaja merasai bebannya, malah semua lapisan masyarakat tidak kira agama dan kaum turut menerima kesannya kerana peniaga mengambil kesempatan di bulan puasa ini untuk menaikkan harga barang keperluan.

“Situasi ini tidak seharusnya berlaku,” kata beliau.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments