Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube Vimeo

ROS Lboard

K’jaan NS hubungi terus pemohon sebarang keputusan

 | July 26, 2012

Ini untuk memastikan keputusan mesyuarat Exco dimaklum lebih awal kepada pihak pemohon.

SEREMBAN:  Pemohon yang ingin membeli atau menjual tanah, memajukan sesuatu kawasan, melakukan pembangunan dan pelaburan di Negeri Sembilan boleh menarik nafas lega selepas ini.

Kerajaan negeri Negeri Sembilan mengambil keputusan yang berkuatkuasa serta merta bahawa sebarang keputusan mesyuarat mingguan Exco kerajaan negeri berhubung permohonan mereka akan diberitahu secara terus kepada pemohon melalui surat.

Keputusan ini merupakan berita baik kepada pemohon kerana apabila mereka mendapat kelulusan daripada kerajaan negeri dengan cepat maka pemohon yang terdiri daripada individu, pemaju, syarikat atau pelabur boleh melakukan urusan persediaan untuk proses jual beli tanah, memajukan tanah atau pembangunan dengan segera.

Menteri Besar Dato’ Seri Mohamad Hasan berkata kerajaan negeri mengambil tindakan drastik dengan menghantar surat kepada pemohon tanpa melalui agensi kerajaan agar keputusan hasil mesyuarat dapat dimaklumkan awal kepada mereka.

“Dalam mesyuarat mingguan Exco kita telah bersetuju meluluskan minit mesyuarat selepas mesyuarat selesai.

“Keputusan mesyuarat Exco akan dimaklumkan oleh Setiausaha Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) kepada pemohon dalam tempoh tiga hari dan salinan akan diberikan kepada jabatan atau agensi kerajaan berkenaan.

“Sebelum ini minit mesyuarat Exco diluluskan seminggu kemudian dan keputusan mesyuarat Exco dimaklumkan kepada agensi kerajaan terlebih dahulu sebelum dipanjangkan kepada pemohon,” katanya.

Mohamad Hasan berkata usaha pembaikan itu dilakukan bagi memastikan keputusan mesyuarat Exco dimaklum lebih awal kepada pihak pemohon.

“Kadangkala keputusan mesyuarat Exco lambat diberitahu kepada pemohon melalui surat sehingga tiga bulan. Begitu juga dengan masalah surat hilang.

“Masalah penyampaian seperti ini akan mencemar imej baik kerajaan negeri dan tindakan drastik ini bertujuan memperbaiki prestasi perkhidmatan penyampaian kepada orang ramai.

“Usaha ini bukan mahu pertikai kredibiliti penjawat awam sebaliknya kerajaan negeri mahu memperbaiki sistem penyampaian. Saya berharap usaha mengeluarkan keputusan hasil mesyuarat dengan segera ini dapat memberi kepuasan kepada pelanggan,” ujar beliau.

Dengan keputusan ini, pemohon yang ingin membeli tanah boleh menunjukkan surat kelulusan pembelian tanah yang dikeluarkan MMKN kepada Pejabat Tanah sekiranya berlaku kelewatan atau surat kelulusan hilang di Pejabat Tanah untuk urusan pemprosesan segera.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments