Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube

ROS Lboard

Zuraida: MB S’gor perlu putuskan status Latheefa

 | July 26, 2012

Kerajaan negeri perlu keluarkan surat sama ada mahu beliau (Latheefa) tarik balik keputusan atau sebaliknya.

PETALING JAYA: Majlis Pimpinan PKR Negeri (MPN) menyerahkan isu perletakan jawatan Latheefa Koya sebagai Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) kepada kerajaan negeri Selangor untuk sebarang tindakan lanjut.

Timbalan Pengerusi PKR Selangor dan juga Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin berkata ini kerana surat perletakan jawatan itu hanya diserahkan kepada kerajaan negeri dan MBPJ.

Maka menurut Zuraida, MPN tidak boleh bertindak namun hanya menyatakan pendirian agar Latheefa mempertimbangkan semula perletakan jawatan sebagai ahli majlis.

“Sekarang ini kerajaan negeri yang perlu keluarkan surat sama ada mahu beliau (Latheefa) tarik balik keputusan atau sebaliknya.

“MPN tidak boleh bertindak kerana surat perletakan jawatan itu diajukan hanya kepada kerajaan negeri dan MBPJ maka kerajaan negeri yang perlu beri respon,” katanya ketika dihubungi FMT.

Sementara itu, FMT turut mendapatkan respon daripada seorang pemimpin kanan PKR yang enggan nama beliau disiarkan.

Keputusan pecat 21 Jun lalu

Beliau berkata keputusan untuk membatalkan jawatan Latheefa itu difahamkan telah dibuat pada 21 Jun (Khamis) lalu.

Keputusan pembatalan tersebut difahamkan dibuat pada hari sama ketika Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) diadakan.

Menurut sumber, Latheefa yang juga Pengarah Biro Guaman PKR mengetahui hal tersebut dan bertindak untuk menyerahkan surat perletakan jawatan beliau kepada kerajaan negeri dan MBPJ.

Ujar sumber tersebut, Latheefa mengambil pendirian bahawa parti (PKR) tidak perlu terbabit dalam hal ini dan mahu kerajaan negeri Selangor memberikan respon.

Turut dikesali adalah kerajaan negeri di dakwa berdolak dalih dan sehingga kini tiada keputusan muktamad diambil oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berhubung hal tersebut.

Dalam pada itu Setiausaha Politik Menteri Besar, Faekah Husin melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada FMT berkata, pihaknya masih belum menerima surat berkenaan.

“Kebiasaanya jika Menteri Besar menerima surat begitu beliau akan serah kepada saya untuk tindakan susulan. Setakat ini saya tidak menerima apa-apa daripada Menteri Besar,” katanya.

Pada minggu lalu, Abdul Khalid berkata perletakan jawatan oleh Latheefa itu diserahkan kepada PKR, namun pihak parti pula mahu Pengarah Biro Guaman itu mempertimbang semula keputusan tersebut.

Latheefa sebelum ini melalui satu emel menulis dan menyatakan hasrat untuk meletakkan jawatan sebagai ahli majlis MBPJ.

Ia ekoran spekulasi yang timbul bahawa beliau akan dipecat oleh kerajaan negeri sebagai ahli majlis tersebut.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments