Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube Vimeo

ROS Lboard

Impian PAS mahu laksana hudud mustahil

July 28, 2012

Dr Tan Seng Giaw berkata, untuk melaksanakan hudud perlu kepada pindaan perlembagaan persekutuan yang memerlukan majoriti dua pertiga.

KUALA LUMPUR: Hasrat PAS yang mahu melaksanakan hukum hudud di negara ini sukar untuk direalisasikan kerana parti itu perlu terlebih dahulu meminda Perlembagaan Persekutuan, kata Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP, Dr Tan Seng Giaw.

Beliau yang juga Anggota Parlimen Kepong berkata untuk meminda perlembagaan bukan sesuatu yang mudah kerana ia memerlukan majoriti dua pertiga di Parlimen.

“Nak hudud mesti ada pindaan di Parlimen. Dia (PAS) tahu nak dapat majoriti dua pertiga itu mustahil,” katanya.

Malah, katanya sehingga hari ini Enakmen Undang-undang Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 (Hukum Hudud) yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Kelantan pada 1993 juga masih tidak dapat dikuatkuasakan.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas kenyataan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga Mursyidul Am PAS pada Rabu lepas yang mengulangi pendirian parti itu untuk memperjuangkan hukum hudud walaupun tidak dipersetujui DAP.

Perkara rumit

Menurut Tan, isu hudud merupakan satu perkara yang rumit terutama dalam sebuah negara yang terdiri daripada masyarakat majmuk dan ia tidak sepatutnya dibangkitkan.

“Jangan kita bangkitkan perkara yang boleh menimbulkan porak-peranda terutama kepada perkara yang tak boleh dilaksanakan,” katanya.

Mengulas mengenai pendirian DAP itu, bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat, Dr Chandra Muzaffar berkata pendirian PAS untuk memperjuangkan hukum hudud walaupun tidak mendapat restu DAP menunjukkan kedua-dua parti tersebut banyak perbezaan dan tidak sealiran.

Beliau yang juga Presiden Pergerakan Keadilan Sejagat (Just) berkata kedua-dua parti berkenaan hanya berpakat kerana mereka mempunyai ‘musuh’ tertentu yang menghalang hasrat untuk merampas kuasa di peringkat persekutuan dan negeri.

“Ini menunjukkan hubungan mereka satu hubungan yang beroportunis kerana mereka nak berkuasa, tak ada sebab lain,” katanya.

Dr Chandra juga berkata tindakan PAS yang memberi keutamaan kepada hudud apabila berkuasa menunjukkan seolah-oleh bahawa hukuman tersebut mencerminkan tamadun Islam.

“Ini tak betul kerana yang mencerminkan kegemilangan Islam adalah ilmu pengetahuan dan keadilan,” jelasnya.

- Bernama

Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments