Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube Vimeo

ROS Lboard

Gesaan supaya Lajim keluar Umno

July 29, 2012

Lajim patut keluar Umno secara bermaruah kerana beliau tidak lagi berpegang kepada perjuangan dan dasar parti dan tidak sepatutnya menunggu untuk dipecat.

KOTA KINABALU: Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak hari ini meminta Datuk Seri Lajim Ukin keluar daripada Umno selepas meletakkan jawatan sebagai Anggota Majlis Tertinggi, Ketua Umno Bahagian Beaufort dan Pengerusi Barisan Nasional (BN)Beaufort.

“Beliau (Lajim) tidak boleh mendapat kedua-duanya. Jika beliau secara terbuka tidak bersetuju dengan pendirian parti atau pendirian kerajaan dan sebaliknya beliau secara diam-diam mahu bekerja dengan pembangkang, dengan itu beliau patut keluar daripada Umno sepertimana yang akan dilakukan oleh seorang yang ‘gentleman’,” katanya kepada  Bernama.

Salleh mengulas pengumuman Lajim semalam yang beliau meletakkan semua jawatan tetapi tetap menjadi anggota Umno dan kekal memegang jawatan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Beliau berkata Lajim patut keluar Umno secara bermaruah kerana beliau tidak lagi berpegang kepada perjuangan dan dasar parti dan tidak sepatutnya menunggu untuk dipecat.

“Inilah sebenarnya apa yang beliau mahu pucuk pimpinan parti lakukan. Beliau mahu bertindak sebagai seorang wira dan beliau dapat (kemudiannya) memberitahu rakyat yang beliau dipecat ketika sedang memperjuangkan hak rakyat.

“Tampaknya inilah rancangannya, tetapi rakyat tidak akan terperdaya,” katanya.

Kebajikan rakyat Sabah

Salleh juga menyangkal dakwaan Lajim bahawa Umno dan BN tidak berbuat apa-apa untuk kebajikan rakyat Sabah.

Beliau berkata Lajim telah menjadi sebahagian daripada sistem itu selama kira-kira 18 tahun dan amat arif mengenai hasrat dan komitmen kerajaan untuk menjadikan  Malaysia sebagai sebuah negara maju menjelang 2020.

“Anehnya, beliau tidak merungut sebelum ini. Saya percaya rakyat tidak “buta” dan tahu apa yang sebenarnya telah dilakukan oleh BN. Mereka cukup bijak untuk membuat penghakiman sendiri mengenai prestasi baik BN dalam melaksanakan tugasnya.

“Sebab itu kenapa BN menang besar di Sabah pada pilihan raya umum 2008. Jadi adalah tidak betul untuk menyatakan sekarang bahawa BN tidak berbuat apa-apa untuk rakyat, khususnya di Sabah,” katanya.

Lajim, 57, semalam mengumumkan peletakan jawatan sebagai Anggota Majlis Tertinggi Umno, Ketua Umno Bahagian Beaufort dan Pengerusi BN Beaufort berkuat kuasa serta merta. Beliau sebelum itu meletakkan jawatan sebagai Ketua Umno Cawangan Kerambai Kebatu.

Beliau juga menyatakan menyerahkan kepada Majlis Tertinggi Umno untuk memutuskan mengenai keanggotaannya dalam parti dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung jawatannya sebagai Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Lajim juga mengumumkan penubuhan Pakatan Perubahan Sabah (PPS) atau Sabah Reform Front dan barisan 17 wakil — seorang bagi setiap kawasan Parlimen — di negeri ini.

Di CYBERJAYA, Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin meminta Lajim bersikap ‘gentleman’ dengan melepaskan jawatan sebagai Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan juga sebagai anggota Umno.

Beliau turut menolak tindakan Lajim itu akan menjejaskan pengaruh Umno di Sabah dan menegaskan bahawa Umno Sabah dan Pemuda Umno Sabah akan tetap kuat.

Khairy bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan pada  majlis Sidang Kemuncak Pelajar India 1Malaysia di Universiti Limkokwing.

- Bernama


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments