Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube Vimeo

ROS Lboard

Sasterawan Pulau Cinta – Bahagian 2

 | July 30, 2012

Laporan yang lebih relevan perlu dibuat dengan mengambil kira konsep “janji ditepati” yang menjadi pegangan pemerintah.

Kesemua mereka datang ke pusat peranginan di atas bukit bagi menghadiri seminar sastera bertema “Sasterawan Pulau Cinta: Melukut atau Menggugat?” anjuran Gabungan Persatuan Penulis Pulau Cinta.

Nasib tidak menyebelahi mereka kerana kesemua mereka menjadi mangsa tragedi sewaktu dalam perjalanan pulang. Malah, tambah malang nasib mereka kerana dikatakan bahawa mereka mendapat balasan Tuhan atas segala dosa yang mereka lakukan pada masa lalu.

Mereka juga dikatakan kononnya pergi ke pusat peranginan berkenaan bukan untuk berseminar tetapi sebenarnya untuk melakukan maksiat dan menyebarkan ajaran sesat!

Serta-merta para ibu bapa menghalang anak-anak mereka pergi ke sekolah beraliran sastera. Pihak pentadbir sekolah gagal memujuk mereka. Para pelajar pun mula seronok dan bersuka ria. Mereka malah berterima kasih atas insiden runtuhan tanah di lereng bukit. Masyarakat umum pula mula semakin rancak mengutuk golongan penulis.

Di Pulau Cinta yang kecil ini bukannya ada ramai sasterawan. Di sini memang kami membezakan antara “penulis” dan “sasterawan”. Wartawan dan penulis pojok pun dianggap “penulis” tetapi “sasterawan” merujuk khas kepada golongan penulis yang menghasilkan karya sastera.

(Untuk makluman, kami di Pulau Cinta tidak ada Anugerah Sastera Negara seperti di negara saudara. Jadi, tidak timbul kekeliruan antara konsep “sasterawan” dan “Sasterawan Negara” seperti yang khabarnya timbul dalam kalangan penulis sendiri di negara saudara.)

Sembilan belas orang sasterawan Pulau Cinta sudah menjadi mangsa tragedi. Baki yang masih hidup sekitar sepuluh orang. Baru-baru ini kami mengadakan mesyuarat tergempar. Kami membuat resolusi menuntut agar golongan sasterawan tidak disalahkan dalam tragedi tanah runtuh. Kami mendesak pihak pemerintah agar memberi penerangan kepada rakyat yang memandang serong terhadap kami.

Kami mahu supaya mata pelajaran sastera tidak dimansuhkan di sekolah-sekolah. Kami tidak mahu buku-buku sastera dipulau, dibakar dan disamatarakan dengan buku-buku ajaran sesat. Dipandang jijik serupa karya picisan yang sebenarnya orang ramai sentiasa baca secara sembunyi-sembunyi.

Pelik! Bagaimana dan mengapa penduduk Pulau Cinta tergamak menghina sastera dan sasterawan dengan begitu tiba-tiba?

Anak-anak dihalang membaca karya sastera. Kononnya semua itu bahan bacaan yang ditulis oleh golongan pendosa. Golongan yang dimurkai Tuhan. Golongan yang pasti masuk neraka.

Ibu bapa bimbang jika anak-anak mereka terpengaruh dengan gaya hidup golongan sasterawan yang kononnya bergelumang dengan dosa dan noda dan ajaran sesat. Lebih teruk lagi, mereka khuatir jika anak mereka mula berminat untuk menulis dan mahu menjadi sasterawan!

Pendosa

Memang aneh. Golongan korporat, para ahli Jemaah Pemerintah serta para penduduk Pulau Cinta sendiri memang selalu ke kawasan peranginan di atas bukit berkenaan. Dan hanya mereka dan Tuhan yang tahu apa yang mereka sebenarnya lakukan di sana. Tetapi entah mengapa apabila timbul tragedi ini, golongan sasterawan sahaja yang dipersalahkan.

Mungkin kerana kesemua mangsa yang meninggal dunia adalah para sasterawan. Dua puluh lagi mangsa yang cedera sudah semakin sembuh. Lalu diperkatakan orang bahawa Tuhan mahu menghukum para sasterawan sahaja. Mangsa yang cedera pula cuma kurang bernasib baik kerana berada di tempat kejadian pada waktu itu. Tuhan tidak murka pada mereka; kononnya.

Para sasterawan dicemuh. Mereka dianggap pendosa. Jemaah Pemerintah turut membahaskan isu itu pada mesyuarat kabinet. Mereka sedar bahawa ini peluang terbaik untuk berpura-pura alim. Mereka tahu bahawa sekiranya mereka cuba membela nasib golongan sasterawan, para penduduk akan mula menuduh mereka juga sebagai pendosa.

Para menteri dalam Jemaah Pemerintah Pulau Cinta tidak mahu tembelang mereka pecah. Tambahan pula, mereka juga sering ke pusat peranginan di atas bukit sejak istana Ravana dijadikan hotel lima bintang. Para menteri memang sentiasa diberi layanan teramat istimewa setiap kali mereka ke sana.

Lalu, Rama selaku Ketua Jemaah Pemerintah mengumumkan bahawa sebuah tribunal khas akan ditubuhkan bagi menyelidik dan menganalisis perilaku golongan sasterawan di Pulau Cinta.

Sekiranya terbukti bahawa hidup mereka dipenuhi dosa dan maksiat dan ajaran sesat (liberal), maka Jemaah Pemerintah akan mewartakan profesion sasterawan sebagai sama taraf dengan pelacur. Hukumnya dosa. Haram.

Memang keterlaluan tetapi itulah sahaja cara yang dapat difikirkan oleh Jemaah Pemerintah untuk menutup aib sendiri. Kami, para sasterawan, tidak terkejut membaca keputusan itu yang disiarkan berulang kali di akhbar, tivi dan radio yang dikuasai pemerintah. Ini bukanlah kali pertama Jemaah Pemerintah Pulau Cinta menghukum kami.

Suatu masa dahulu, apabila seorang sasterawan menulis novel yang mengkritik Rama dan Jemaah Pemerintah secara habis-habisan, dia dikenakan tekanan politik. Novelnya diharamkan. Penulisnya sentiasa diawasi dari dekat dan jauh oleh orang suruhan Rama.

Tetapi anehnya, apabila sasterawan yang sama menghasilkan novel kedua yang mendedahkan sehabis-habisnya kepincangan kerabat diraja Ravana, dia disanjung tinggi oleh pihak pemerintah. Dia dinobatkan sebagai sasterawan yang berani bersuara! Novelnya diulang cetak dan disebar merata-rata. Penulis itu sentiasa disebut-sebut oleh Rama pada setiap majlis yang dihadirinya.

Kini golongan sasterawan menjadi mangsa sekali lagi. Mungkin kerana kami tidak kuat dari segi ekonomi dan politik, maka kami diperlakukan sesuka hati oleh pemerintah. Kami dipandang rendah oleh masyarakat yang pada suatu masa dahulu pernah menghargai peranan yang kami mainkan secara tidak langsung dalam meniupkan semangat kemerdekaan serta semangat untuk warga Pulau Cinta maju dalam bidang ekonomi, politik, pendidikan dan sosial.

Janji ditepati?

Laporan siasatan terhadap tragedi tanah runtuh menunjukkan bahawa puncanya adalah akibat tadahan air semula jadi yang melimpah, tanah bukit yang longgar dan akibat permukaan bukit yang gondol setelah dibersihkan bagi tujuan pembangunan.

Jemaah Pemerintah kurang berpuas hati. Mereka mengarahkan agar siasatan terperinci dibuat semula. Kali ini oleh sebuah badan yang dipengerusikan oleh salah seorang menteri dalam Jemaah Pemerintah. Badan itu diberi tempoh tiga bulan untuk mengemukakan laporan yang lebih relevan kepada Jemaah Pemerintah dengan mengambil kira konsep “janji ditepati” yang menjadi pegangan.

Sementara itu, mana-mana pihak yang cuba membela golongan sasterawan boleh ditahan atas tuduhan melanggar arahan Jemaah Pemerintah. Maka setiap pihak di Pulau Cinta memilih untuk pro-Rama dan pro-Jemaah Pemerintah.

Ravana memilih untuk tidak masuk campur. Dia lebih selesa melancong dari sebuah negara ke sebuah negara lain bersama-sama beberapa pengiringnya.

Golongan ibu bapa pula terus menghalang anak-anak daripada pergi ke sekolah. Di Pulau Cinta tidak ada sekolah beraliran sains. Maka ibu bapa lebih rela anak-anak tidak bersekolah daripada terpaksa menghadiri sekolah yang mengajar mata pelajaran sastera.

Mereka terus memandang serong terhadap golongan sasterawan. Para penduduk Pulau Cinta terus menuduh para sasterawan sebagai punca tragedi tanah runtuh di lereng bukit kawasan peranginan di bahagian tengah Pulau Cinta.

Malah penyiaran segala bentuk karya kreatif adalah dilarang sehingga Jemaah Pemerintah membuat keputusan setelah menerima laporan lengkap yang dinantikan.

Itulah sebabnya saya menyerahkan manuskrip cerpen ini kepada seorang rakan sasterawan untuk diterjemahkan ke Bahasa Malaysia dan disiarkan di negara saudara.

Tentulah sebelum saudara sempat habis membaca faksyen terjemahan ini, saya sudah pun dijadikan tahanan politik di Pulau Cinta. Mungkin juga saya tidak akan berpeluang untuk menatap cerpen ini apabila ia disiarkan.

Malah tidak mustahil bahawa saya tidak akan dapat dikesan lagi setelah dijadikan tahanan politik. Saya mungkin “hilang” begitu sahaja. Biarlah. Sekurang-kurangnya saya sudah melaksanakan tanggungjawab saya dalam usaha membela nasib sasterawan Pulau Cinta.

Baca juga:

Sasterawan Pulau Cinta – Bahagian 1


Uthaya Sankar SB adalah presiden Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) dan pemilik tunggal “Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya”.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments