Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube Vimeo

ROS Lboard

Hudud: Biar rakyat tentukan, bukan Karpal

 | July 31, 2012

PAS Kelantan menegaskan rakyat berkuasa menentukan dasar kerajaan termasuk pelaksanaan undang-undang Islam.

PETALING JAYA: “Biar rakyat yang menentukan pelaksanaan hukum hudud, bukan Karpal Singh,” tegas Timbalan Pesuruhjaya III PAS Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Beliau berkata, PAS Kelantan berpendirian rakyat berkuasa menentukan dasar kerajaan termasuk pelaksanaan undang-undang Islam.

“Dalam soal ini, rakyat memainkan peranan utama, contohnya PAS tidak bersetuju perjuangan menegakkan negara sekular tetapi kita hendak halang macam mana sebab rakyat yang menentukan perkara itu,” katanya kepada pemberita di Kota Bharu semalam.

Mohd Amar berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang mengatakan DAP tetap menentang pelaksanaan hukum hudud di negara ini biarpun mengakui Islam agama rasmi negara mengikut perlembagaan.

Dalam kenyataannya Karpal berkata, kenyataan itu adalah pendirian DAP bukan pandangan peribadinya.

Mohd Amar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah itu menegaskan PAS tetap berjuang secara berterusan menegakkan syariat Islam biarpun terdapat pihak yang tidak bersetuju dengan dasar perjuangan parti itu.

“Bagi memperjuangkan agenda Islam seperti yang PAS bawa ini pun rakyat yang boleh menentukan kejayaannya tetapi kita tidak akan berhenti memperjuangkan Islam, semata-mata sebab ada orang yang tidak bersetuju.

Di sini usaha kita ialah berterusan memberi penjelasan kepada rakyat dan biar rakyat membuat keputusan,” katanya, dipetik dari blog Kedah Lanie.

Umno sendiri tidak suka hudud

Mohd Amar yang dilantik sebagai timbalan pengerusi jawatankuasa teknikal hudud Kelantan menyifatkan penentangan daripada Karpal itu bukan suatu perkara yang luar biasa memandangkan Umno sendiri tidak menyukai pelaksanaan hukum itu di negara ini.

Malah beliau berkata, MCA turut menolak undang-undang Islam itu dengan menyuarakan hasrat akan keluar daripada Barisan Nasional (BN), sekiranya Umno menyokong hudud.

“Dari segi politik bukan satu benda yang pelik sebab MCA sendiri pun menentang undang-undang hudud dan bila Adun Kemelah mencadangkan supaya Johor melaksanakan undang-undang hudud, Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek menggunakan istilah keras, jadi saya rasa lebih teruk lagi dari DAP,” katanya.

Bagaimanapun Mohd Amar berkata, PAS menghormati pendirian DAP tersebut dan tidak menjangkakan DAP boleh menerima secara terbuka memandangkan berkemungkinan tidak memahami sepenuhnya tentang hukum tersebut.

Sementara itu, akhbar Sinar Harian hari ini melaporkan kenyataan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang menegaskan pendirian partinya tidak menyokong pelaksanaan negara Islam dan hukum hudud.

Tetapi katanya, DAP tetap konsisten dan tidak pernah goyah, bersetuju dengan pelaksanaan negara berkebajikan oleh PAS yang melindungi rakyat yang miskin, fakir, sakit, dan sesiapa yang memerlukan bantuan.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments