Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube Vimeo

ROS Lboard

Pengurusan cekap AP boleh ganti cukai eksais

 | July 31, 2012

Jumlah cukai RM8 bilion yang dianggarkan dikenakan ke atas rakyat sekarang ini sebenarnya akan dipulangkan kepada rakyat.

PETALING JAYA: Kebimbangan yang dimainkan oleh Umno-Barisan Nasional (BN) dan sesetengah pihak bahawa penghapusan cukai eksais kereta demi menurunkan harga kereta akan mengurangkan hasil kerajaan dan menjejaskan ekonomi adalah tidak tepat.

PKR menjelaskan dalam satu kenyataan bersama hari ini bahawa jumlah cukai RM8 bilion yang dianggarkan dikenakan ke atas rakyat sekarang ini sebenarnya akan dipulangkan kepada rakyat.

Jumlah ini akan dibelanjakan oleh rakyat di dalam ekonomi negara yang akan merancakkan pertumbuhan ekonomi. Pertumbuhan ekonomi ini kata mereka akan meningkatkan hasil kerajaan melalui kutipan cukai pendapatan syarikat dan individu.

Demikian menurut kenyataan bersama itu yang dikeluarkan Pengarah Strategi Mohd Rafizi Ramli, Pengarah Komunikasi Nik Nazmi Nik Ahmad dan Timbalan Ketua Penerangan parti itu, Sim Tze Tzin.

Kata mereka, kesan berganda kepada ekonomi negara jika jumlah RM8 billion ini dipulangkan kepada rakyat adalah lebih tinggi berbanding jika ia berada di dalam poket kerajaan.

“Malah, pengurusan permit import (AP) kereta yang lebih baik juga akan menambahkan lagi pendapatan negara.

“Gabungan kedua-dua langkah ini akan memastikan pendapatan negara tidak terjejas secara mendadak hasil dari penghapusan cukai eksais secara berperingkat,” kata mereka.

Ujar mereka, “perlu diingatkan, Umno-BN telah mungkir janji dengan rakyat untuk menghapuskan AP seperti yang diumumkan di dalam Dasar Automotif Negara yang berkuatkuasa bermula 20 Oktober 2005.

“Janji untuk menghapuskan AP menjelang 31 Disember 2010 tidak ditepati, sebaliknya kini sasaran itu ditangguhkan pula ke 31 Disember 2015,” tambah mereka.

Menurut mereka, sistem AP bukan sahaja menyebabkan harga kereta yang lebih tinggi tetapi hanya menguntungkan sesetengah pihak yang rapat dengan Umno-BN.

Janji tidak ditepati

Kata mereka lagi, janji Umno-BN supaya hasil dari AP ini akan digunakan untuk membantu usahawan Bumiputra di dalam sektor automotif juga tidak ditepati.

Dalam ucapan belanjawan 2010, Perdana Menteri Datuk Najib Tun Razak telah mengumumkan bahawa setiap AP akan dijual pada harga RM10,000 dan hasilnya akan dimasukkan ke dalam satu tabung untuk membantu usahawan Bumiputra.

Bagi tahun 2011, sebanyak 600,123 unit kenderaan didaftar. Dari jumlah itu, 533,515 unit dikeluarkan dan dipasang di Malaysia dan inibermakna sejumlah 66,608 AP telah dikeluarkan dalam tahun 2011 bagi kenderaan import.

Jika benar hasil AP yang bernilai RM10,000 setiap satu ini telah dimasukkan ke dalam satu tabung untuk usahawan Bumiputera, sepatutnya pentadbiran Najib telah membelanjakan RM666 juta setiap tahun untuk membantu usahawan Bumiputera dalam sektor automotif seperti yang dijanjikan.

Sehingga kini, kita masih belum mendapat apa-apa maklumat mengenai tabung ini atau pun hasil AP yang telah dibelanjakan untuk rakyat.

Sebab itu, PKR mencadangkan supaya kerajaan akan datang kekal dengan komitmen untuk menghapuskan AP menjelang tahun 2015 supaya tidak melanggar peraturan WTO dan AFTA yang telah dipersetujui.

Nilai terbaik

Dalam tempoh tiga tahun di antara 2013 dan 2015, langkah-langkah berikut wajar dilaksanakan bagi mendapatkan nilai terbaik dari AP yang dikeluarkan:

  • Penjualan AP akan dibuka kepada bidaan umum bermula dengan harga-harga tertentu mengikut kategori kereta dan penggunaan bahan api, demi menggalakkan lebih banyak kereta yang menjimatkan bahan api diperkenalkan;
  • Harga permulaan bidaan ditetapkan pada RM10,000 bagi kategori jimat bahan api, RM20,000 bagi kategori kenderaan biasa dan RM30,000 bagi kategori kenderaan berkuasa tinggi yang menggunakan bahan api yang lebih;
  • PKR percaya harga purata bagi setiap AP yang dikeluarkan boleh mencecah RM40,000 apabila penjualan AP dibuka kepada proses bidaan;
  • Dengan anggaran sebanyak 70,000 AP dikeluarkan setiap tahun, ini akan membawa hasil sebanyak RM2.8 bilion setiap tahun kepada kerajaan.

Cekik darah rakyat

Walaupun harga AP akan ditentukan oleh proses bidaan untuk mendapatkan hasil terbaik kepada negara, penghapusan cukai eksais secara berperingkat bermakna harga kereta secara purata akan tetap turun.

Pendapatan tambahan dari hasil AP yang dirombak dianggarkan akan memastikan perbendaharaan negara kekal mendapat di antara RM2 bilion hingga RM3 bilion setiap tahun bagi mengimbangi penurunan kutipan cukai eksais.

Pada masa yang sama, hasil kutipan cukai yang lain juga dijangka akan meningkat apabila perbelanjaan rakyat berikutan suntikan RM8 bilion merancakkan ekonomi negara.

PKR merasakan formula ini adalah lebih baik berbanding pendekatan mencekik darah rakyat melalui cukai eksais berkali ganda yang menyebabkan rakyat terpaksa berhutang untuk membayar cukai kepada kerajaan.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments