Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube

ROS Lboard

Himpunan Hijau Raub dicadang 2 September

 | August 2, 2012

Ramai penduduk kini jatuh sakit disebabkan bahan kimia sianida terdedah kepada udara.

KUALA LUMPUR: Satu demonstrasi aman akan diadakan pada 2 September depan bagi membantah aktiviti kilang melombong dan memproses emas menggunakan sianida yang membahayakan kesihatan kira-kira 1,000 penduduk Bukit Koman di Raub, Pahang.

‘Himpunan Hijau Raub’ (HHR) yang dianjurkan beberapa gabungan badan bukan kerajaan (NGO) itu akan diadakan di Dataran Raub dan mensasarkan kehadiran sekurang-kurangnya 20,000 penyokong.

Naib Pengerusi Jawatankuasa HHR Tengku Shahadan Tengku Jaafar berkata, ramai penduduk kini jatuh sakit disebabkan bahan kimia sianida terdedah kepada udara, antaranya mengalami simptom kegatalan dan ruam yang melampau, batuk berterusan, dan lain-lain kesan yang membimbangkan.

Namun katanya, lebih memedihkan semua aduan dan rayuan yang dibawa ke pihak berkuasa tidak mendapat perhatian sewajarnya.

“Kerajaan tidak melakukan apa-apa untuk membuktikan kilang ini selamat.

“Pada masa yang sama, penduduk yang membantah ditekan dan diperbodohkan sejak tiga tahun lalu,” katanya dalam sidang media di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor (KLSCAH) di sini hari ini.

Beliau berkata, tambah menghairankan, aktiviti perlombongan emas yang dijalankan Raub Australian Gold Mine (RAGM) masih dibenarkan beroperasi 24 jam tanpa henti.

“Kami bukan memusuhi perniagaan yang memperolehi keuntungan. Cuma kilang emas ini beroperasi dengan cara tidak beretika dan telah mencemarkan persekitaran malah membahayakan kehidupan,” katanya.

Himpunan ini turut mendapat sokongan DAP dan PAS yang mengisytiharkan untuk turun ke Raub bagi menyatakan tanda sokongan sepenuhnya terhadap bantahan itu.

Naib Pengerusi DAP Tan Kok Wai berkata, pihaknya akan berusaha membantu dari segi mobilisasi bagi memastikan himpunan itu berjaya.

“Industri yang bergantung kepada bahan kimia yang boleh mencemarkan alam sekitar dan kesihatan adalah musuh rakyat dan negara.
Maka kerajaan negeri (Pahang) dan Pusat yang meluluskan lesen juga musuh rakyat dan musuh negara,” tegasnya.

Kerajaan Pusat degil

Exco Selangor Ronnie Liu pula berkata, pihaknya memberi jaminan akan memastikan lombong ini ditutup dan penduduk terjejas akan diberi pampasan sewajarnya selepas Pakatan Rakyat dapat mengambil alih Putrajaya, sama seperti isu Lynas di Kuantan.

“Perjuangan menentang pencemaran alam sekitar mengambil masa yang panjang kerana kerajaan Pusat memang degil.

“Ng Yen Yen (Ahli Parlimen Raub), Liow Tiong Lai (Menteri Kesihatan) semuanya degil,” katanya yang turut berasal dari Raub.

Sementara itu, Ketua Lajnah Alam Sekitar PAS Pusat Zulkifli Mohd Omar berkata, PAS turut menyatakan sokongan sepenuhnya himpunan itu kerana ia membabitkan isu kesihatan rakyat tanpa mengira bangsa, kaum, dan agama.

RAGM mula beroperasi sejak tahun 2009 dan jarak tapak kilang itu dengan kawasan rumah penduduk Kampung Bukit Koman hanya dipisahkan melalui sebatang jalan raya kecil sahaja.

Sianida digunakan RAGM sebagai salah satu bahan kimia berbahaya untuk mengekstrak emas dan diharamkan di negara antaranya Jerman, Turki, Greece, dan sesetengah negeri di Amerika Syarikat.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments