Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube

ROS Lboard

Selangor akui krisis air akan berlaku, dakwa Kementerian

August 3, 2012

Kerajaan negeri bersetuju melaksanakan lima daripada lapan projek mitigasi yang dicadangkan kerajaan pusat bernilai RM301 juta.

KUALA LUMPUR: Kerajaan negeri Selangor tahu dan mengakui krisis air akan berlaku di negeri itu, Kuala Lumpur dan Putrajaya pada 2014 di sebalik bertegas mengatakan bekalan air terawat mencukupi hingga 2019, menurut  Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA).

KeTTHA dalam kenyataan akhbar berkata bukti kerajaan Selangor mengakui krisis air akan berlaku jika tiada sebarang langkah diambil untuk menanganinya, ialah apabila ia bersetuju melaksanakan lima daripada lapan projek mitigasi yang dicadangkan kerajaan pusat bernilai RM301 juta.

“Persetujuan kerajaan negeri Selangor untuk melaksanakan projek-projek itu menunjukkan bahawa kerajaan negeri sememangnya mengakui krisis air akan berlaku pada tahun 2014 jika tiada sebarang langkah diambil untuk menanganinya.

“Ini menunjukkan bahawa pendirian kerajaan negeri Selangor yang mengatakan bahawa bekalan air terawat mencukupi sehingga tahun 2019, merupakan kenyataan yang tidak disokong oleh fakta,” menurut kementerian itu.

KeTTHA berkata kerajaan pusat sebelum ini bersetuju meluluskan peruntukan sebanyak RM606 juta untuk melaksanakan lapan projek mitigasi itu bagi mengelakkan krisis air di tiga kawasan berkenaan memandangkan kerajaan Selangor tidak mengambil sebarang tindakan untuk memastikan loji-loji rawatan air di negeri itu membekalkan air terawat yang mencukupi.

Kenyataan kementerian itu bertujuan membetulkan beberapa kenyataan yang dibuat Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan beberapa Exco kerajaan negeri, termasuk Exco Kesihatan, Pekerja Ladang dan Kerajaan Penyayang Dr Xavier Jayakumar serta anggota Parlimen Klang Charles Santiago sejak 23 Julai lepas mengenai masalah air di Selangor.

Kenyataan tidak tepat

“Pembetulan ini dibuat kerana kenyataan-kenyataan tersebut tidak tepat dan menimbulkan kekeliruan kepada orang ramai,” menurut KeTTHA.

Kementerian itu juga berkata kenyataan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini bahawa tidak ada keperluan catuan air dalam masa terdekat di Selangor bukan bermakna krisis air di negeri itu tidak akan berlaku pada 2014.

Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Isu-isu Air Selangor yang dipengerusikan Muhyiddin membuat keputusan bahawa catuan air tidak perlu dilaksanakan pada masa ini kerana kedududkan bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya secara keseluruhannya mencukupi, katanya.

Ini berdasarkan maklumat daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) yang memaklumkan kedudukan bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya secara keseluruhannya masih terkawal, bagaimanapun terdapat beberapa kawasan yang dikenalpasti seringkali mengalami gangguan bekalan air.

Ini disebabkan rizab simpanan air yang sangat rendah iaitu secara puratanya 2.5 peratus sahaja berbanding paras optimum 10 peratus, menurut KeTTHA.

Gangguan bekalan air

“Bagaimanapun, SPAN telah diminta mengenal pasti kawasan-kawasan yang kerap menghadapi gangguan bekalan air dan menyediakan pelan kontingensi bagi kawasan-kawasan ini sebagai persediaan menghadapi catuan, sekiranya diperlukan, melalui perbincangan dengan Syarikat Bekalan Air Selangor dan kerajaan negeri Selangor,” katanya.

Menurut kementerian itu, pelan berkenaan penting bagi memastikan orang ramai di kawasan yang terlibat mendapat maklumat jelas mengenai sebarang catuan air yang akan dilaksanakan untuk membolehkan mereka membuat persediaan sewajarnya.

Menurut KeTTHA, loji rawatan Air Langat 2 dirancang untuk dibina bagi memenuhi permintaan bekalan air pada tahun 2014 berdasarkan kajian yang  dibuat pada tahun 2000, dan hasil kajian itu terbukti benar apabila SPAN turut mengunjurkan jumlah bekalan air dalam sistem bekalan air sedia ada tidak mencukupi untuk memenuhi permintaan pada tahun 2014.

“Malah, SPAN mengunjurkan bahawa bekalan air yang dikeluarkan oleh 34 loji rawatan air di Selangor hanya dapat memenuhi permintaan air sehingga penghujung tahun 2012 sahaja,” menurutnya.

Kementerian itu berkata pembinaan infrastruktur bekalan air memerlukan tempoh masa yang panjang untuk disiapkan dan untuk itu, Loji Rawatan Air Langat 2 perlu dibina sekarang bagi memastikan pengguna tidak menghadapi masalah bekalan air pada masa akan datang.

Langat 2

KeTTHA berkata pelaksanaan projek Loji Rawatan Air Langat 2 akan dibuat secara tender terbuka kepada semua syarikat yang berkelayakan, dan turut mengalu-alukan anak-anak syarikat kerajaan negeri Selangor untuk menyertainya apabila diiklankan kelak.

Menyentuh dakwaan Khalid baru-baru ini yang kapasiti pengedaran Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) hanya 4,371 juta liter sehari (JLH) berbanding 4,807 JLH kapasiti pengeluaran 34 loji rawatan air negeri, KeTTHA berkata berdasarkan maklumat SPAN, kesemua loji rawatan air itu direka bentuk untuk menghasilkan 4,581 JLH.

“Bagaimanapun, terdapat kekangan dalam sistem pengeluaran beberapa loji dan sistem pengagihan pada ketika ini yang hanya membolehkan kapasiti air diagihkan kepada pengguna sebanyak 4,371 JLH sahaja,” katanya.

Untuk itu, projek Mitigasi 1 dan 2 berjumlah RM606 juta yang merupakan inisiatif kerajaan persekutuan apabila siap kelak, akan dapat mengoptimumkan pengeluaran air kepada 4,581 JLH.

Kementerian itu turut menegaskan bahawa kerajaan negeri tidak pernah mencadangkan sebarang projek mitigasi seperti yang dinyatakan Menteri Besar dan beberapa Exco negeri itu di media, bagi meningkatkan kapasiti loji rawatan air sedia ada di negeri Selangor, walaupun 33 daripada 34 buah loji itu merupakan milik kerajaan negeri Selangor.

Lima loji

Menurut kementerian itu, jumlah kapasiti pengeluaran yang dinyatakan kerajaan negeri Selangor, iaitu sebanyak 4,807 JLH, merupakan jumlah kapasiti reka bentuk loji dan mengambil kira kapasiti lebihan yang dihasilkan oleh lima  buah loji yang sedang dioperasikan melebihi tahap reka bentuk iaitu Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor 2, LRA Sungai Semenyih, LRA Sungai Langat, LRA Sungai Batu dan LRA Bukit Tampoi.

“Dalam merancang bekalan air kepada pengguna, kapasiti yang perlu diambil kira ialah kapasiti yang boleh diagihkan iaitu 4,371 JLH kerana ia menentukan jumlah air yang sampai ke premis pengguna.

“Sekiranya kapasiti reka bentuk iaitu 4,581 JLH atau kapasiti pengeluaran loji yang dinyatakan oleh kerajaan negeri Selangor iaitu 4,807 JLH diguna pakai, ia tidak akan mencerminkan jumlah bekalan air sebenar yang boleh diagihkan kepada pengguna dan seterusnya memberikan gambaran yang salah tentang kadar rizab simpanan bekalan air di Selangor pada ketika ini,” jelas kementerian itu.

Penggunaan fakta yang salah dalam membuat perancangan bekalan air akan menyebabkan pengguna air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya menghadapi risiko krisis air pada masa hadapan, kata KeTTHA.

Bernama


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments