Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube Vimeo

ROS Lboard

‘Kelantan berhak terima royalti minyak’

 | August 5, 2012

Sabah dan Sarawak menerima royalti minyak sedangkan Kelantan dinafikan hak yang sama.

SHAH ALAM: Kelantan berhak menerima royalti minyak daripada Kerajaan Persekutuan berdasarkan kedudukan pesisir pantainya, kata Menteri Besarnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Pendirian itu diulangi Nik Aziz dengan merujuk kepada dua negeri lain iaitu Sabah dan Sarawak yang turut menerima royalti minyak sedangkan Kelantan dinafikan hak yang sama.

Tegasnya, pesisir pantai Kelantan adalah lebih dekat dengan lokasi pelantar minyak di perairan pantai timur semenanjung tersebut.

“Sarawak lebih jauh dari pelantar minyak tetapi sudah lama diberikan royaltinya. Tetapi tidak bagi Kelantan yang sepatutnya berhak menerima royalti lima peratus seperti termaktub dalam perjanjian perkongsian hasil cari gali minyak yang dimeterai antara Kerajaan Pusat, Petronas dan kerajaan negeri.

“Kalau Kelantan tidak dapat itu tidak munasabah,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis pelancaran tabung Lebuh Raya Rakyat Kuala Krai ke Kota Bharu di Kompleks Media Karangkraf, di sini semalam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam berkata, dari segi perundangan kerajaan negeri Kelantan tidak layak untuk menuntut bayaran tunai daripada hasil petroleum.”

Kelantan hanya mempunyai hak untuk menuntut bayaran tunai daripada hasil petroleum yang dihasilkan dalam perairan negeri tersebut iaitu
kawasan yang terletak tidak melebihi tiga batu nautika dari pesisir pantai negeri.

Najib berkata, pada masa ini, tiada pengeluaran petroleum dilakukan dalam kawasan perairan negeri Kelantan. Oleh itu, dari segi perundangan, kerajaan negeri Kelantan tidak layak untuk menuntut bayaran tunai daripada hasil petroleum.

Nik Aziz persoal Jawatankuasa Khas

Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS turut mempersoalkan penubuhan Jawatankuasa Khas oleh Kerajaan Persekutuan.

“Sepatutnya masa dia nak sekat pemberian royalti dahulu lagi dia buat jawatankuasa kerana akta dibuat dalam parlimen zaman Tun Razak lagi. Sepatutnya ketika kerajaan Persekutuan tidak mahu beri royalti, masa itulah ada jawatankuasa,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas penubuhan sebuah Jawatankuasa Khas yang akan mengkaji secara adil dan telus berhubung isu bayaran tunai daripada hasil petroleum kepada negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

Perkara itu diumumkan Perdana Menteri, dan jawatankuasa itu akan mengambil tempoh enam bulan sebelum mengemukakan cadangan kepada kerajaan persekutuan.

Merujuk kepada perjanjian dengan Petronas pada 1975,  pembayaran royalti 5 peratus sebagaimana termaktub, maka Petronas berkewajipan membayar wang kepada negeri berkenaan sebanyak 5 peratus keuntungan minyak.

Sementara itu beliau berkata pihaknya belum melantik nama wakil Kelantan dalam jawatankuasa berkenaan dan perkara itu akan dibuat selepas selesai mengadap Tuanku Sultan.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments