Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube

ROS Lboard

Peneroka India Felda turut syukuri bantuan k’jaan

August 5, 2012

Kerajaan bercadang menaik taraf dua kuil (di Felda Sungai Tengi) sedia ada dalam masa terdekat bagi memberi keselesaan kepada penganut Hindu beribadat.

Oleh S. Kisho

HULU SELANGOR: Manfaat menjadi peneroka Felda bukan sahaja dinikmati kaum Melayu bumiputera tetapi juga segelintir keturunan India yang bersyukur dengan pelbagai bantuan dan imbuhan yang diberi kerajaan.

Bagi M. Letchumy, 72, dari Felda Sungai Tengi di sini, beliau mahu menghabiskan sisa hidupnya di kawasan Felda itu sekalipun kesemua anaknya yang bekerja di luar, mendesak beliau tinggal bersama mereka.

“Semua kemudahan ada di sini, kenapa saya perlu tinggal di luar?

“Kawan-kawan saya semua di sini. Lagi pun sekarang kerajaan memberikan pelbagai insentif kepada penduduk Felda, macam mana saya nak tinggalkan kawasan ini? Saya akan tetap tinggal di sini sampai ke akhir hayat,” katanya kepada Bernama selepas menerima agihan ‘durian runtuh’ fasa kedua untuk isteri peneroka, baru-baru ini.

Katanya, pihak pengurusan Felda dan penduduk di situ saling membantu dan menjaga kebajikan serta keperluannya, lebih-lebih lagi mereka yang tahu beliau tinggal berseorangan.

Letchumy berkata sejak menetap di situ pada 1973, hatinya sudah terpaut dengan keharmonian masyarakat dan keindahan bumi bertuah yang banyak membantunya dan suami menyara membesarkan anak-anak.

Sebanyak 1,900 isteri peneroka menerima bayaran RM5,000 seorang pada majlis itu termasuk sembilan berketurunan India.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Mei lepas mengumumkan durian runtuh kepada peneroka berjumlah RM1.689 bilion untuk diagihkan kepada 112,635 keluarga peneroka di seluruh negara sempena penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGV) di Bursa Malaysia.

Pemberian durian runtuh berjumlah RM15,000 itu dilakukan dalam tiga fasa iaitu RM5,000 bagi setiap fasa meliputi ketua keluarga, isteri peneroka dan generasi kedua  Felda.

Baru-baru ini Najib mengumumkan 103,597 peneroka atau 91.9 peratus yang bersama Felda akan menerima duit raya RM400 seorang melibatkan peruntukan berjumlah RM41.4 juta, manakala 9,038 orang atau 8.02 peratus peneroka yang tidak bersama Felda masing-masing menerima RM200 melibatkan peruntukan berjumlah RM1.8 juta.

Mengulas lanjut, Letchumy berkata sejak Najib meneraju negara, pemimpin negara itu mengotakan janjinya bertepatan dengan slogan ‘rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan’

Kerajaan prihatin

Bagi peneroka P.Muthaiah, 65, semua itu membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap golongan peneroka dan perhatian yang diberikan kerajaan Barisan Nasional (BN) itu juga berjaya mengubah persepsi saudara-maranya terhadap kerjaya beliau.

“Dulu, lebih kurang 20 atau 30 tahun lepas, saudara-mara kami tak nak datang melawat kami sebab mereka kata kami semua tinggal di hutan. Tempat itu jauh dan tak ada kemudahan.

“Tapi sekarang selepas banyak bantuan dan kemudahan disediakan, mereka mula datang melawat kami dan kami juga mudah untuk keluar melawat mereka,” katanya.

Katanya pada peringkat awal penyertaan pada 1972, beliau mengharungi kesukaran untuk menyara isteri dan enam anak dengan pendapatan bulanan sebanyak RM60.

“Tiada kemudahan yang disediakan pada masa itu, nak pergi ke pekan pun kena fikir dua kali. Begitu susah kehidupan kami dulu,” katanya.

Kini kata Muthaiah, banyak pembangunan pesat berlaku di kawasan itu berbanding zaman 1970-an dan jalan yang dahulunya bertanah merah sudah berganti jalan berturap tar yang selesa.

“Kalau nak pergi ke kawasan bandar raya, sekarang kami ada Lebuhraya Karak. Kemudahan perubatan juga disediakan di sini… jadi hidup kami di sini semakin senang berbanding dulu. Terima kasihlah kepada Datuk Najib,” katanya.

Bagi Anggota Parlimen Hulu Selangor P. Kamalanathan pula berkata kerajaan mempunyai pelbagai pelan pembangunan bagi meringankan beban dan meningkatkan lagi keselesaan hidup peneroka Felda yang tinggal di kawasan pedalaman.

“Buat masa ini kami sedang berusaha untuk mengatur lebih banyak pengangkutan awam ke kawasan ini kerana jika dilihat sekarang, kekerapan bas keluar masuk adalah hanya sejam sekali,” katanya.

Katanya, bagi peneroka keturunan India pula, kerajaan bercadang menaik taraf dua kuil sedia ada dalam masa terdekat bagi memberi keselesaan kepada penganut Hindu beribadat.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments