Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube

ROS Lboard

Ikhlas hantar memo, minta siasat bazar Ramadan

 | August 8, 2012

Mohd Ridzuan Abdullah mendakwa wujud unsur rasuah dalam pemberian tapak bazar 'ekspres' khas (VIP) berharga RM30,000 bagi satu lot yang tidak perlu melalui undian.

PUTRAJAYA: Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) menghantar memorandum kepada Lembaga Penasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana mendesak siasatan skandal proses undi lot niaga  di bazar Ramadan antara SPRM dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Mohd Ridzuan Abdullah mendakwa, wujud unsur rasuah dalam pemberian tapak bazar ‘ekspres’ khas (VIP) berharga RM30,000 satu lot yang tidak perlu melalui undian di kawasan tumpuan di Jalan Tunku Abdul Rahman dan Jalan Masjid India di Kuala Lumpur.

Beliau berkata, walaupun SPRM sebelum ini terlibat memantau undian tapak, namun lebih 100 tapak ‘ekspres’ itu didapati dikecualikan daripada proses tersebut.

“Individu yang dapat tapak itu Datuk, Datin, pengusaha kereta permit import (AP) tetapi peniaga kecil ini terpaksa bersusah payah pinjam bank, ‘ah long’ untuk berniaga…di mana keadilan,” soalnya ketika ditemui pemberita di depan bangunan SPRM di sini hari ini.

Ridzuan berkata dakwaannya itu dikuatkan lagi apabila menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Sosio Ekonomi DBKL Datuk Amin Nordin Abdul Aziz keputusan itu terletak di tangan Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar dan SPRM.

Beliau dalam SMS kepada Amin Nordin 8 Julai lalu bertanya, “Salam Datuk, kenapa 14 petak (Masjid India) tidak dicabut undian dimonopoli oleh 3 (tiga) persatuan, dapat tahu ada MoU, Ikhlas tetap akan bersuara. Tk”.

Namun Amin Nordin dalam SMS kepada Ridzuan pada 18 Julai membalas, “Keputusan Kementerian dengan SPRM difahamkan”.

‘Makhluk perosak’

Ridzuan berkata, antara tapak itu 58 daripadanya dimiliki Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar dan selebihnya dikuasai tiga persatuan peniaga di bawah DBKL yang didakwanya sebagai ‘makhluk perosak’.

“Mereka ni bukan nak bela peniaga kecil dan miskin tetapi keuntungan masuk poket individu,” katanya.

Selain itu, beliau turut mempersoalkan mengenai kenyataan Pengerusi Perancang Korporat DBKL Dr Ismail Stapa dalam laporan Utusan Malaysia 24 Julai lalu yang menyebut “Sebahagian 500 tapak yang disediakan oleh DBKL telah diserahkan kepada Persatuan Penjaja” itu sama ada turut terlepas daripada pengundian.

Malah dakwanya,  wujud persatuan palsu yang tidak berdaftar di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) namun diberikan kelayakan mengundi untuk mendapatkan tapak.

Sehubungan itu, beliau mendesak Panel Penasihat SPRM segera memberikan jawapan bertulis dalam masa tiga bulan alasan masih wujud lot yang tidak melalui proses undi di bawah pemerhatian SPRM.

“Kita mendesak lembaga SPRM siasat sedalam-dalamnya demi menjaga nama baik kerajaan kerana kita tak mahu nama kerajaan rosak disebabkan SPRM dan DBKL.

“Kita bukan nak lawan kerajaan tetapi bagi kesedaran kepada pemimpin-pemimpin wilayah atas kuasa mana lot ini tidak diundi,” katanya.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments