Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube Vimeo

ROS Lboard

PAS mainkan isu hudud untuk dapatkan undi

 | August 8, 2012

Parti itu tidak komited untuk memperjuangkan matlamat asal parti itu

PETALING JAYA:  Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara, Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata, tindakan PAS ‘menguburkan’ hukum hudud yang dicanang-canang sejak dahulu lagi akan memberi kesan kepada parti itu.

“Umum telah mengetahui bahawa ini merupakan pendekatan PAS sekarang. Apabila sudah hampir ke pilihanraya umum, isu hudud akan dimainkan untuk mendapatkan perhatian pengundi. Selepas itu senyap sunyi.

“Dahulu mereka kata hendak jadikan Malaysia negara Islam, jalankan hukum hudud, kemudian tukar pula kepada negara berkebajikan. Sekarang tidak mahu buat pula. Janganlah berdolak-dalih. Perlaksanaan hukum hudud tidak sepatutnya dipolitikkan,” katanya.

Beliau turut menyatakan bahawa rakyat dan penyokongnya akan keliru kerana parti mereka menghantar mesej yang berbeza setiap kali diajukan soalan berkenaan perlaksanaan hukum hudud.

“Penyokong akan keliru dengan pendirian sebenar dan hala tuju mereka. Ini menunjukkan bahawa PAS tiada kesungguhan untuk meneruskan hasrat mereka untuk melaksanakan hukum hudud, sekalipun mereka berjaya ‘menawan’ Putrajaya pada pilihanraya umum ke 13 nanti,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali  dalam sesi sidang akhbar semalam telah mengeluarkan kenyataan tidak akan melaksanakan hukum hudud di Malaysia sekiranya mereka merampas Putrajaya pada pilihanraya yang akan datang.

Mustafa menjelaskan perlaksanaan hukum hudud tidak perlu dipersoalkan kerana ianya tidak termasuk dalam Buku Jingga.

“Kami telah membincangkan perkara ini tahun lepas, dan kami akan berpegang kepada dasar bersama yang telah dipersetujui di dalam Buku Jingga,” kata tokoh veteran PAS itu.

Beliau berkata, tiada sebarang perancangan untuk melaksanakan hukum hudud di Kedah. Berlainan dengan Kelantan, enakmen mereka telah wujud sebelum Pakatan Rakyat lagi, tetapi satu jawatankuasa akan ditubuhkan untuk memantau perlaksanaannya.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments