Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube

ROS Lboard

Bicara saksi beri keterangan palsu kes bunuh Sosilawati 5 November

August 9, 2012

Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan 5 dan 6 November ini untuk perbicaraan kes pekerja ladang, U Suresh.

SHAH ALAM: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan 5 dan 6 NovemberĀ  ini untuk perbicaraan kes pekerja ladang, U Suresh yang didakwa memberi keterangan palsu dalam perbicaraan kes bunuh jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain di Mahkamah Tinggi di sini.

Hakim Mohammed Mokhzani Mokhtar menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Salwa Asmary Abdul Rahim memaklumkan bahawa pihaknya telah menerima nota prosiding perbicaraan kes bunuh itu daripada Hakim Datuk Akhtar Tahir.

Pada 30 April lepas, Akhtar memerintahkan bekas peguam N Pathmanabhan dan tiga pekerja ladang iaitu T Thilaiyalagan, R Matan dan R Kathavarayan membela diri terhadap tuduhan membunuh Sosilawati, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, pegawai bank Noorhisham Mohamad dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin.

Mahkamah Rayuan bagaimanapun memerintahkan agar perbicaraan itu ditangguh sementara menunggu keputusan rayuan empat tertuduh terbabit terhadap keputusan Akhtar yang mengetepikan sapina yang dikeluarkan oleh mereka terhadap tiga timbalan pendakwa raya (TPP) dalam kes itu, supaya tampil sebagai saksi.

Suresh, 28, dan seorang lagi pekerja ladang, K.Sarawanan, 21, kini menjalani hukuman penjara 20 tahun di Penjara Sungai Udang, Melaka, kerana kesalahan melupuskan bukti berkaitan kes pembunuhan itu.

Mengaku tidak bersalah

Pada 10 Ogos tahun lepas, Suresh mengaku tidak bersalah memberi keterangan palsu dalam prosiding perbicaraan kes Pendakwa Raya lawan Pathmanabhan, Thilaiyalagan, Matan dan Khatavarayan di hadapan Akhtar sedangkan keterangan yang dia beri kepada pegawai perakam, ASP Ong Seng Keong pada 26 Okt 2010 di Penjara Sungai Udang, Melaka, adalah berbeza.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu antara 9.30 pagi dan 12 tengah hari pada 25 dan 27 Julai 2011 di Mahkamah Tinggi 8, di sini. Suresh didakwa mengikut Seksyen 193 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Dia merupakan saksi ke-29 pendakwaan dalam perbicaraan kes bunuh itu yang didakwa dilakukan di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting, antara 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010.

Pada 15 Oktober 2010, Suresh dan Sarawanan masing-masing dijatuhi hukuman penjara 28 tahun selepas mereka mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Telok Datok, Banting atas empat tuduhan melupuskan bahan bukti dalam pembunuhan itu.

Majistret Hurman Hussain mengarahkan hukuman berjalan serentak, bererti Sarawanan dan Suresh masing-masing akan menjalani hukuman penjara tujuh tahun selepas tarikh mereka ditangkap pada 9 September 2010.

Namun, pada 21 FebruariĀ  tahun lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohtaruddin Baki (kini Hakim Mahkamah Rayuan), dalam melaksanakan kuasanya mengikut Kanun Tatacara Jenayah untuk menyemak keputusan mahkamah rendah, mengurangkan hukuman penjara kepada lima tahun bagi setiap pertuduhan, tetapi memerintahkan hukuman berjalan secara berturut-turut.

Bernama


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments