Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube

ROS Lboard

Unisel, S’gor dituntut bayar hutang RM15 juta

 | August 10, 2012

Krisis gaji yang bermula pada April lepas mencapai kemuncaknya pada bulan lepas apabila gaji pekerja tidak dibayar.

UPDATED

BESTARI JAYA: Para pekerja dan kontraktor dari Jana Niaga Sdn Bhd (JNSB) hari ini berdemonstrasi bagi menuntut pihak Universiti Selangor (Unisel) dan kerajaan negeri membayar hutang yang didakwa hampir RM15 juta tersebut.

Kira-kira 100  orang berkumpul seawal jam 2 petang di depan pintu masuk Unisel. Mereka menuntut  gaji dibayar memandangkan perayaan Aidilfitri akan menjelang tiba.

Kumpulan demonstrasi itu diketuai oleh Pengerusi Gabungan Prihatin Rakyat Selangor (GPRS), Datuk Shohaimi Shahadan dan Presidennya Mohd Ali Baharom.

Para pekerja terbabit melaungkan “Kami mahu hak kami,kami mahu gaji” dengan sepanduk tertulis “Bayar segera hutang Jana Niaga”.

Eksekutif Kanan Jana Niaga, Norrashikin Mat Jupri yang ditemui berkata kemuncak krisis bermula April lepas.

“Kemuncaknya  apabila kami tidak mampu bayar gaji bermula Julai lalu. Sepanjang 17 bulan lalu gaji yang diberi pada pekerja tidak penuh.

“Bermula April  kita bayar gaji pekerja sebanyak RM200. Maka kami mahu agar pihak Unisel dan kerajaan negeri segera bayar hutang Jana Niaga. Kami yang terima kesan,” katanya.

Seorang wakil kontraktor yang menguruskan bahagian pembersihan kampus di bawah Jana Niaga, Siti Aishah Othman berkata, beliau tidak dibayar sehingga 12 bulan dan terpaksa memberhentikan pekerja.

Ujar Siti Aishah, beliau terpaksa memberhentikan para pekerja secara berperingkat-peringkat.

“Saya cutikan pekerja berperingkat-peringkat bermula Jun. Daripada 40 pekerja kini saya hanya mampu membayar gaji 16 pekerja sahaja,” katanya sayu.

Sementara itu, trafik di laluan pintu masuk Unisel mengalami kesesakan sehingga satu jam apabila tuntutan para pekerja untuk menghantar memorandum tersebut tidak mendapat layanan pihak pengurusan.

Laluan keluar masuk dikunci

Tindakan wakil GPRS mengunci kedua-dua laluan pintu masuk dan keluar universiti tersebut dengan mangga memburukkan lagi kesesakan di kawasan itu.

Secara tiba-tiba salah seorang pekerja yang lengkap memakai uniform kuning dikenali sebagai Mohd Julis tampil menyatakan kesedihannya.

Beliau seorang insan kurang upaya atau OKU, yang bekerja selama tiga tahun menuntut agar gaji beliau dibayar sambil mengenangkan Aidilfitri hanya beberapa hari lagi.

Dalam pada itu, Shohaimi mahu siasatan dibuat ke atas Unisel.

Katanya para pekerja menjadi saksi dan tindakan tidak membayar hutang terutama menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab.

“Kerajaan negeri boleh cari jalan untuk bela (Pengarah Strategi PKR) Rafizi Ramli guna wang Selangorku. Kenapa tidak cari jalan untuk bertindak segera untuk selesaikan masalah ini?,” soal beliau.

Baru-baru ini Rafizi dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan mendedahkan urusniaga bank NFC. Beliau turut menghadapi saman malu ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah menawarkan bantuan wang peruntukan untuk membiayai kes mahkamah tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, kumpulan demonstrasi ini turut gagal menyerahkan memorandum kepada pihak Unisel.

Baru-baru ini media melaporkan bahawa Khalid mengakui Unisel berhutang hampir RM15 juta dengan JNSB termasuk gagal menjelaskan bil penyelenggaraan asrama sejak 17 bulan lalu.

Beliau berkata, pendapatan Unisel ketika ini hanya cukup membayar gaji profesor dan guru, selain kos pentadbiran dan penjagaan asrama.  Bagaimanapun, tidak cukup wang  untuk bayar kos biayai asrama berjumlah RM200 juta.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments