Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube

ROS Lboard

Kepimpinan Umno Silam berpecah dua

 | August 11, 2012

Jika saya tidak bertanding, penyokong-penyokong saya akan kecewa, bekas ketua bahagian, Datuk Mohd Yusuf Apdal.

PETALING JAYA: Kepimpinan Umno Silam berpecah dua antara kumpulan Ketua Umno bahagian, Datuk Datu Nasrun  Datu Mansur dengan bekas ketua, Datuk Mohd Yusuf Apdal.

Bagaimanapun, perpecahan ini tidak membabitkan ahli parti, kata Mohd Yusuf yang juga adik kepada menteri pusat, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Mohd Yusuf kalah kepada Datu Nasrun dalam pemilihan jawatan ketua bahagian 2008.

“Kita tunggu hari pencalonan, jika saya tidak bertanding, penyokong-penyokong saya akan kecewa. Bagaimana saya hendak mengawal penyokong-penyokong saya.

“Mereka mahukan saya bertanding tidak kiralah kerusi Parlimen atau salah satu kerusi negeri dalam Parlimen Silam ini.

“Kalau kerusi negeri berilah satu antara DUN Kunak, Lahad Datu mahu pun Tungku,” kata Mohd Yusuf.

Bagaimanapun, menurutnya  masih ada jalan untuk menyelesaikan perpecahan antara beliau dengan Datu Nasrun.

Mohd Yusuf mencadangkan beliau dan Datu Nasrun dicalonkan bertanding dalam pilihan raya umum ke 13 ini.

Mahu bertanding

“Kalau saya dan Datu Nasrun dicalonkan tidak kiralah sama kerusi Parlimen atau negeri, masalah antara saya denganya akan selesai,” tambahnya.

Namun, Mohd Yusuf memberi jaminan seandainya namanya tidak dicalonkan bertanding, beliau akan tetap menyokong calon BN atas semangat parti.

“Saya tidak ada masalah untuk menyokong Datu Nasrun tetapi saya tidak boleh mengawal penyokong-penyokong saya.

“Bagaimana saya hendak mengawal mereka,” katanya.

Mohd Yusuf mendakwa sebahagian besar ahli dari kalangan Bugis dan Bajau di Silam merupakan penyokongnya.

“Mereka semua mengundi saya,” tambahnya.

Mohd Yusuf berkata, walaupun ada jawatan tetapi tidak ada peluang menyebabkan orang berkenaan tidak akan bekerja untuk parti.

Katanya, pemegang jawatan jika tidak menjadi calon mereka mudah terpengaruh untuk tidak melakukan kerja-kerja untuk parti.

Datu Nasrun umumkan calon

Baru-baru ini Datu Nasrun mengumumkan senarai calon pilihan bahagian itu untuk kerusi Parlimen dan ketiga-tiga kerusi DUN.

Bagaimanapun, pengumuman yang dibuat oleh Datu Nasrun itu dikatakan tanpa mendapat restu sebilangan AJK Umno berkenaan.

Datu Nasrun dikatakan mencadangkan namanya sendiri,  Aljen Johnny, Amat Kaoh dan Rahman Kassim sebagai calon ADUN Lahad Datu.

Manakala bagi DUN Tungku, Nasrun mencalonkan Datuk Suhaili Mohd Said, Mohamad Serangit dan Mizma Apehdullah.

Bagi DUN Kunak, Nasrun telah mencalonkan Datuk Nilwan Kabang, Bernama Kauluh, Herman Rahim dan Datuk Jasa Rauddah.

Bagi Parlimen Silam, Nasrun menggugurkan nama Salleh Kalbi sebaliknya mencalonkan dirinya sendiri (Nasrun),  Mahil Kamaruddin, Saleha Abdul Wahid dan Ali Andu Injil.

Bagaimanapun, Datu Nasrun sebaliknya menyangkal dakwaan itu.

“Ini adalah suara 95 peratus daripada ahli jawatankuasa bahagian Umno Silam, bukan keputusan peribadi saya walaupun saya adalah Ketua Bahagian,” tegas beliau.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments