Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube

ROS Lboard

Panchayat menjelang Merdeka

 | August 13, 2012

Novel yang disiarkan secara bersiri di FMT, kini terbit dalam versi bercetak iaitu edisi dimurnikan.

FEATURE

Novel “Panchayat: Edisi Khas” yang saya terbitkan semula dalam “edisi dimurnikan” akan siap pada minggu ini. Pasti sahaja saya amat gembira menunggu buku berkenaan siap dicetak menjelang Aidilfitri dan sambutan ulang tahun ke-55 kemerdekaan.

Panchayat adalah majlis timbang tara dalam amalan hidup kaum India yang diwarisi daripada nenek-moyang di Benua Kecil India. Tarafnya lebih kurang seperti mahkamah penghulu dalam kalangan orang Melayu, tetapi tidak sama.

Pada asalnya, panchayat diwakili oleh lima (panca) orang warga tua terhormat di kampung berkenaan. Akan tetapi, mengikut peredaran zaman, panchayat mula dipengerusikan oleh seorang sahaja; biasanya ketua kampung.

Malah, amalan panchayat sudah tiada dalam kalangan masyarakat India di Malaysia. Namun, pasti ada sebab mengapa konsep panchayat dihidupkan menerusi novel ini dan digambarkan sebagai berlaku di sebuah tempat bernama Kubur Gajah pada tahun 1960.

Manuskrip novel ini pada mulanya diberi kepada sebuah penerbit terkemuka tanah air. Dr Othman Puteh (Allahyarham) selaku penilai sudah meluluskan manuskrip novel ini untuk diterbitkan. Beliau menyifatkan novel ini “umpama menonton filem Tamil yang dialih bahasa”.

Bagaimanapun, tidak lama kemudian, saya diberitahu bahawa manuskrip itu sedang dinilai semula sebagai sebuah novel kanak-kanak! Tidak setakat itu, kemudian manuskrip yang sama diserahkan pula kepada seorang “ustaz” di penerbitan yang sama untuk dinilai semula bagi kali yang entah keberapa.

Dan seperti yang sudah saya duga, manuskrip yang saya serahkan itu “lesap” begitu sahaja. Entah apa alasan sebenar yang menyebabkan novel berkenaan tidak diterbitkan.

Akhirnya, pada tahun 2002, saya membuat keputusan menerbitkan sendiri novel ini supaya kisah yang terkandung di dalamnya boleh sampai kepada khalayak pelbagai kaum.

Kini, novel Panchayat yang pernah “lesap” semasa dinilai seorang “ustaz” di sebuah penerbitan terkemuka tanah air “lahir” dalam edisi baru.

Edisi khas ini sepatutnya diterbitkan pada 2011. Bagaimanapun, hambatan kewangan membuatkan saya terpaksa menangguhkan sementara hasrat menerbitkan Panchayat: Edisi Khas.

Pada waktu itu, kontroversi novel Interlok: Edisi Murid (2010) sedang berlangsung. Dengan mengambil pengajaran daripada isu itu, saya membuka peluang kepada sesiapa yang berminat untuk menjadi Editor Bersekutu dan membantu kerja-kerja penyuntingan serta pemurnian novel Panchayat sebelum diterbitkan dalam edisi baru.

Edisi khas

Pada 28 Jun 2012, saya menghubungi rakan-rakan dan kenalan menerusi Facebook, e-mel dan blog untuk memaklumkan bahawa saya bercadang menerbitkan Panchayat: Edisi Khas menggunakan wang yang diterima hasil sumbangan ikhlas berupa tempahan awal.

Benar-benar di luar dugaan, begitu ramai rakan-rakan dan kenalan tampil memberi sokongan dengan membuat tempahan awal bagi novel ini yang belum pun dicetak. Malah belum dibuat reka letak!

Sesungguhnya saya amat terharu dengan sokongan yang diberikan oleh rakan-rakan dan kenalan terbabit. Inilah sebenarnya konsep “masyarakat berkebajikan” di mana rakan-rakan dan kenalan – bukan politikus; bukan jutawan – tampil memberi sumbangan penuh ikhlas bagi merealisasikan impian saya menerbitkan Panchayat: Edisi Khas.

Sejumlah individu yang “berhalangan” untuk menghulurkan bantuan kewangan tetap tampil memberikan sokongan moral. Segala bentuk bantuan dan sokongan itu amatlah bermakna dan tetap dihargai.

Harus juga dinyatakan bahawa saya turut menghubungi beberapa politikus yang selalu lantang bersuara; kononnya prihatin terhadap nasib golongan penulis. Saya mengemukakan kertas cadangan mengenai penerbitan novel ini dan meminta sumbangan ikhlas. Namun, seperti yang sudah dapat diduga, para politikus terbabit yang lantang bersuara di pentas terus senyap sehingga kini.

Wajar juga dinyatakan bahawa novel edisi khas ini terbit di tengah-tengah suasana puak tertentu merancakkan kempen menyebarkan pelbagai fitnah dan pembohongan mengenai saya dan Kavyan. Kononnya, kami anti-Melayu.

Lalu, para penerbit dan editor “dinasihatkan” supaya tidak menerbitkan karya-karya Sasterawan Kavyan. Usaha tidak bermoral, tidak bermaruah dan tidak beretika itu dilakukan puak tertentu yang sebenarnya ternyata takut pada bayang-bayang sendiri.

Seperti dilaporkan di Free Malaysia Today (2 Julai 2012), memang ada puak tertentu menghubungi beberapa penerbit dan menyebarkan fitnah dalam usaha menghalang penyiaran karya-karya oleh ahli Kavyan sejak awal tahun 2012.

Kempen dilakukan puak terbabit untuk melabel Kavyan sebagai “anti-Melayu” dan “anti-Islam” berikutan kelantangan kami bersuara secara berani dan tegas dalam mencari penyelesaian terhadap kontroversi novel Interlok: Edisi Murid (2010) serta perjuangan kami dalam membantu sekumpulan penulis yang menjadi mangsa penipuan royalti teks Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Malaysia (Komsas) sejak 2011.

Seperti yang saya tegaskan dalam sebuah makalah di Free Malaysia Today (15 Ogos 2011), Kavyan dan saya sudah lali dituduh sebagai “pengkhianat” dan “anti-Melayu” semata-mata kerana kami berani menuntut serta memperjuangkan hak, kebenaran dan keadilan tanpa tunduk pada desakan mana-mana pihak berkepentingan.

Puak sama juga menggerakkan kempen “menyeru” orang ramai memboikot novel Panchayat: Edisi Khas dengan menyebarkan fitnah bahawa kulit buku ini menampilkan gambar berhala. Memang lucu kerana “kempen bodoh” itu dilakukan sementara lukisan bagi kulit novel ini belum pun dibuat oleh seorang bekas pelajar saya.

Sakit mental

Agak menarik bahawa kisah puak yang “sakit mental” seperti itu juga sudah sedia terakam kemas dalam novel ini; secara tersurat dan tersirat. Tidak mustahil bahawa puak berkenaan sempat membaca Panchayat (2002) untuk “belajar” sebelum melancarkan kempen “anti-Uthaya”!

Edisi khas novel ini tebalnya hampir 300 halaman. Rakan-rakan dan kenalan yang memberi sumbangan ikhlas berupa “tempahan awal” akan menerima naskhah mereka – seperti dijanjikan – sebelum 31 Ogos 2012.

Saya meletakkan label “18PL” kerana novel ini mengandungi unsur-unsur politik, keagamaan, budaya, adat, seram, ganas, faksyen dan sebagainya yang mungkin mampu mengganggu ketenteraman jiwa dan fikiran sesetengah puak.

Versi asal novel ini pernah disiarkan secara bersiri di FMT. Dapatkan maklumat lanjut di www.uthayasb.blogspot.com


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments